- Iklan -
Berita

PM 'terbuka' PRU15 tahun ini, akan dibincang sebelum pembentangan bajet

Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan menentukan tarikh pilihan raya selepas perbincangan dengan lima pimpinan tertinggi Umno.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kongres Inovasi dan Teknologi 2022 di Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kongres Inovasi dan Teknologi 2022 di Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang hari ini. Gambar: Bernama

Perbincangan antara lima pemimpin tertinggi Umno bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno berkata tempoh untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini masih terbuka dan tarikh itu akan ditentukan selepas mesyuarat lima pemimpin tertinggi Umno.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap keputusan mengenai PRU akan dibuat selepas perbincangan lima pemimpin tertinggi Umno,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Ketika ditanya sama ada perbincangan itu akan diadakan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini di Dewan Rakyat, Ismail Sabri berkata perkara itu masih belum ditentukan.

“Perbincangan boleh dibuat secepat mungkin atau mungkin lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023," kata beliau.

Lima pemimpin tertinggi Umno itu merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden parti iaitu Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Ismail sendiri.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Najib Razak, Ismail berkata beliau telah memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) supaya melihat keperluan bekas perdana menteri itu.

“Saya telah meminta KKM supaya bantu apa yang Najib perlukan… kalau boleh masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) atau tidak, itu akan ditentukan KKM," katanya.

Terdahulu di Mahkamah Kuala Lumpur, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu tidak akan dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan dan akan dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke IJN hari ini.