- Iklan -
Berita

Polis sahkan juruterbang nahas helikopter meninggal dunia

Polis berkata punca kematian mangsa masih dalam siasatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menjawab pertanyaan media mengenai insiden helikopter terhempas, pada sidang media di Balai Polis Bidor malam tadi. Gambar: Bernama
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menjawab pertanyaan media mengenai insiden helikopter terhempas, pada sidang media di Balai Polis Bidor malam tadi. Gambar: Bernama

Juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemui di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di bilik gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80km dari Ipoh hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Semalam Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianow

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.