- Iklan -
Berita

Apa nasib Khairy selepas tinggalkan kerusi Rembau?

Penganalisis berkata sukar untuk Khairy bertanding di Seremban melawan orang kuat pembangkang Anthony Loke Siew Fook dari DAP.

Azzman Abdul Jamal & Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengumumkan akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengumumkan akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka tidak akan menerima pelawaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban memandangkan kawasan itu disifatkan sebagai kubu kuat DAP, kata beberapa penganalisis politik.

Bercakap dengan MalaysiaNow, mereka berkata, walaupun Khairy seorang ahli politik yang sangat popular secara keseluruhan, namun peluang untuk beliau menawan Parlimen Seremban agak sukar memandangkan penyandang kerusi itu ialah Anthony Loke Siew Fook, yang juga seorang ahli politik yang berpengaruh.

James Chin dari University of Tasmania, Australia berkata situasi ini dilihat tidak menyebelahi Khairy dan boleh menyebabkan bekas ketua Pemuda Umno itu tewas sekiranya beliau ingin "mencuba nasib" bertanding di kawasan itu.

"Dia (Khairy) bukan seorang yang bodoh. Dia tahu kemampuan dirinya, dia tidak akan ke Seremban," kata James Chin. 

"Semua spekulasi ini hanya sekadar cakap kosong."

Pada 4 Septembar, Khairy  mengesahakan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diminta memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Susulan ini, Khairy yang menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 mengakui tiada persediaan untuk mencuba nasib di kawasan lain.

Ekoran perkembangan ini, Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin mempelawa Khairy untuk bertanding di Parlimen itu meskipun sebelum ini Seremban kerusi tradisi MCA.

Mengulas mengenai peluang Khairy berdepan dengan Loke, penganalisis politik dari UiTM, Mujibu Abd Muis mengimbas kembali kekalahan Chong Sin Woon, calon MCA yang dipertaruhkan untuk melawan Loke pada 2018.

Beliau berkata, walaupun Chong yang fasih berbahasa melayu dan dianggap sebagai calon berkebolehan, dia tetap mengalami kekalahan teruk apabila Loke menerima majoriti 30,694 undi.

"Tetapi kalau Khairy, mungkin peluang 50-50," kata beliau. 

"Tetapi Seremban ialah bandar besar dan merupakan kawasan campuran, jadi Loke mempunyai kelebihan sekiranya kita mengambil kira faktor kawasan."

Tambah Mujibu, sekiranya Khairy membuat keputusan untuk bertanding di Seremban, ini akan menjadi kerugian buat negara memandangkan kedua-dua mereka disifatkan sebagai ahli politik berkaliber, namun hanya seorang saja yang boleh menang.

Bagi Ahmad Atory Hussain dari USM, Khairy juga kemungkinan besar tidak akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan atau dicalonkan sebagai menteri besar kerana peringkat itu dianggap bukan setarafnya.

Katanya, Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan dianggap sebagai seorang yang berkebolehan untuk menjadi perdana menteri pada masa akan datang berikutan tahap pendidikannya yang tinggi dan dikira sebagai seorang intelektual dalam kalangan ahli Umno.

"Untuk jadikan sebagai menteri besar Negeri Sembilan pun dikira bukan tahap dia," katanya. 

"Lagipun Khairy sudah menunjukkan prestasi cemerlang di Kementerian Kesihatan, malah dia lebih menyerlah berbanding menteri-menteri lain."

Namun begitu, masa depan Khairy dalam Umno terus menjadi persoalan memandangkan beliau hanya dianggap popular di luar parti dan situasi ini menjadi faktor halangan untuk beliau melangkah ke depan sekiranya terus berada di dalam parti itu.

Menurut Chin, Khairy dianggap sebagai seorang yang tidak cukup nasionalistik, tetapi beliau masih "berguna" untuk meraih undi golongan yang digelar "Melayu liberal".

"Sekiranya beliau tidak berupaya menarik undi golongan ini, ada kemungkinan Umno buang dia," jelas Chin. 

“Sekiranya beliau betul-betul berkuasa dan popular (dalam Umno), sudah tentu Tok Mat tidak berupaya ambil alih kerusi Rembau.".

Menurut Atory, langkah menggantikan Khairy dengan Tok Mat memberi isyarat terdapat perkara tersirat oleh pihak-pihak tertentu dalam Umno untuk membunuh karier politik beliau.

Katanya, berkemungkinan daripada sikap iri hati dengan kebolehan Khairy, namun perkara ini bukan satu kejutan apabila ia disifatkan sebagai budaya politik Umno.

"Khairy perlu cari jalan yang lebih selesa dengan rakan yang kuat dalam Umno sebagai payung dan kubu bagi melawan musuh-musuh politiknya," ujarnya. 

“Jika tidak, sukar dan mungkin beliau akan berkelana seorang diri."

Atory berkata, antara pilihan bagi Khairy ialah berhijrah ke parti Melayu yang lain seperti Bersatu, PAS, Pejuang mahupun PKR atau Amanah.