- Iklan -
Berita

Mahkamah bakal sampaikan keputusan perbicaraan kes rasuah Rosmah

Rosmah mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan projek hibrid solar bernilai jutaan dolar ketika suami menjadi perdana menteri.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor melambaikan tangan kepada pemberita ketika hadir dalam perbicaraan kes rasuah suaminya pada 23 Ogos lalu.
Rosmah Mansor melambaikan tangan kepada pemberita ketika hadir dalam perbicaraan kes rasuah suaminya pada 23 Ogos lalu.

Selepas hampir empat tahun perbicaraan, akhirnya isteri Najib Razak, Rosmah Mansor akan mengetahui nasib beliausama ada akan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, lebih seminggu selepas suaminya dipenjarakan.

Najib dan isterinya berdepan kecaman hebat berikuta gaya hidup mewah mereka, di mana kedua-dua mereka berdepan tindakan undang-undang selepas pentadbiran kerajaan tumbang pada 2018.

Minggu lalu, Najib memulakan hukuman 12 tahun penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes yang berkait skandal rasuah berbilion dolar di 1MDB. 

Ketika ini, beliau masih dibicarakan dalam empat kes rasuah lain.

Rosmah, 70, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah antara 2016 dan 2017 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek bekalan tenaga solar sebanyak AS$279 juta daripada kerajaan ketika suaminya menjadi perdana menteri.

Pendakwa raya berkata Rosmah meminta rasuah RM187.5 juta, dan menerima RM6.5 juta daripada pegawai syarikat yang mendapat projek itu.

Jika sabit kesalahan, pertuduhan itu akan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda.

Beliau bagaimanapun boleh memohon penangguhan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu rayuan di mahkamah.

Rosmah berhujah beliau menjadi mangsa bekas pembantunya serta beberapa pegawai kerajaan dan syarikat yang terlibat dalam projek itu.

Dalam usaha untuk menangguhkan keputusan perbicaraan, Rosmah memfailkan permohonan di mahkamah untuk menggugurkan hakim yang mendengar perbicaraannya. 

Mahkamah Tinggi mungkin akan mendengar permohonan itu sebelum menyampaikan keputusannya, kata seorang pendakwa kepada Reuters.

Rosmah juga menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM7.1 juta antara 2013 dan 2017 dalam kes berasingan. 

Perbicaraan tersebut masih belum dimulakan.