- Iklan -
Dunia

Tiada kerjasama dengan PN pada PRU15, kata Rafizi

Rafizi berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat PH yang diadakan minggu lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Stulang sempena kempen PRN Johor. Gambar: Bernama
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Stulang sempena kempen PRN Johor. Gambar: Bernama

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan (PH) tetap tidak perlu mewujudkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rafizi berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat PH yang diadakan pada Rabu lepas.

"Mesyuarat PH pada Rabu lepas sudah buat keputusan noktah. Maksudnya kita akan terus berkempen dalam PRU15 sebagai PH,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Katanya, PKR sebagai tulang belakang PH berpegang kepada prinsip satu gabungan melibatkan semua kaum di negara ini, dan sekiranya niat gabungan bersama PN tidak betul iaitu hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN, ia akan mewujudkan satu kerajaan yang tidak stabil.

“Menang atau kalah belakang kira, kami (PKR) mahu pertahankan idealisme kami. Tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah.  Mereka pimpinan senior berpengalaman berpuluh tahun, terpulang kepada mereka...saya hanya berpegang kepada keputusan di peringkat PH iaitu noktah (tiada kerjasama dengan PN)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah BN.