- Iklan -
Berita

Menjelang belanjawan ala 99, PH terdesak elak pilihan raya

Umno menyasarkan mandat ‘segera dan pantas’, mencontohi langkah Dr Mahathir Mohamad ketika memperbaharui penggal pentadbiran pada 1999 beberapa hari selepas pembentangan belanjawan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akhirnya kelihatan bersedia untuk memenuhi tuntutan partinya untuk menyegerakan pembubaran Parlimen sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), satu langkah yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) berdepan dalam suasana panik.

Ketika ini, gabungan pembangkang itu seakan sudah berada dalam keadaan “mod berkempen" - namun sebaliknya bukan untuk memenangi sebarang pilihan raya.

Seorang ahli Parlimen PKR memberitahu MalaysiaNow gabungan itu kini sedang berdepan dalam pertempuran yang dilihat tidak memihak kepada mereka untuk “menghalang pilihan raya diadakan dalam apa cara sekali pun ketika ini".

"Ia adalah pertempuran yang tidak memihak kepada mereka, dan kemungkinan besar hari pengundian yang akan diadakan kurang dua bulan dari sekarang tidak lagi dapat dihalang," kata ahli Parlimen itu.

Sejak pengumuman Belanjawan 2023 diawalkan kepada 7 Oktober, penyokong PH menggunakan media sosial dalam usaha terdesak untuk meyakinkan Ismail agar tidak membubarkan Parlimen.

Penyokong PH menggunakan segala-gala alasan daripada cuaca sehinggalah mendakwa Umno mengkhianati Ismail kerana mendesak pilihan raya diadakan.

Antaranya Ambiga Sreenevesan, yang kini dilihat beralih sikap memuji Ismail dengan harapan beliau tidak "tunduk kepada hulubalang-hulubalang Umno".

“Pada ketika ini, keadaan berada dalam keadaan tenang dan stabil," kata Ambiga yang setahun lalu menyelar pelantikan Ismail sebagai perdana menteri dan melancarkan petisyen untuk menggulingkan beliau kepada Malaysiakini.

"Beberapa undang-undang yang sangat baik diluluskan. Tiada sebab untuk adakan pilihan raya," katanya.

Penyokong PH yang lain pula turut menggunakan alasan musim tengkujuh dan kemungkinan berlaku banjir, menyelar kerajaan kerana bakal menyusahkan mereka untuk keluar mengundi.

"Kali ni kalau betul nak buat PRU15 bulan November yang biasanya dah start musim hujan, memang Umno terus menerus nak susahkan rakyatlah," kata seorang penyokong PH dalam satu ciapan yang dikongsi Syahredzan Johan dari DAP.

Kebimbangan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat dalam kalangan PH memberikan persepsi umum bahawa pilihan raya yang diadakan ketika ini akan memberikan penangan buruk kepada gabungan itu, yang tumbang dari tampuk pentadbiran kerajaan pada 2020 berikutan perbalahan dalaman mengenai pengganti perdana menteri.

Gabungan itu masih tidak dapat bangkit daripada kejatuhannya, dengan pelbagai usaha sedang digiatkan termasuk mengambil langkah untuk menggunakan logo baru bagi menghadapi pilihan raya yang bakal menyaksikan beberapa parti pembangkang akan bertembung sesama sendiri.

Memorandum persefahaman yang ditandatangani antara PH dan Ismail tahun lepas memutuskan PRU15 akan dilewatkan, memberikan masa kepada gabungan itu untuk mendapatkan semula kekuatannya.

Namun pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini hanya mengurangkan peluang PH terutama dalam usaha untuk mendapatkan undi Melayu yang pada 2018 memihak kepada mereka.

Tindakan mengawalkan pembentangan belanjawan mengesahkan bahawa Ismail tidak lagi boleh menangguhkan PRU15, di mana ia menjadi tuntutan utama kluster mahkamah yang diketuai Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

PRU secara pantas gaya tahun 1999

Beberapa sumber Umno yang bercakap kepada MalaysiaNow berkata rancangan mendapatkan "mandat secara segera dan pantas", adalah mengambil contoh daripada langkah yang pernah diambil Dr Mahathir Mohamad pada 1999.

Menghadapi ancaman terbesar terhadap kepimpinannya, Mahathir memutuskan untuk mengadakan PRU secara mendadak pada akhir November 1999, yang diadakan sebulan selepas Belanjawan 2000 dibentangkan ketika kemuncak protes jalanan mulai mengendur berikutan pemecatan dramatik Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan setahun sebelumnya.

Parti-parti politik kemudian diberi hanya sembilan hari untuk berkempen, kerana Mahathir berusaha untuk meredakan dakwaan yang mengatakan kerajaannya kehilangan sokongan untuk memberi tumpuan menangani impak krisis ekonomi Asia.

Kerajaan BN yang diterajui beliau akhirnya berjaya mendapat majoriti dua pertiga atas sokongan kuat bukan Melayu, namun parti itu mengalami kemerosotan di kawasan Melayu di mana PAS berjaya meraih keputusan yang baik dengan kemenangan yang banyak kerusi Parlimen

“Kali ini, hari pengundian pada pertengahan November adalah senario yang kemungkinan besar berlaku, malah ia adalah satu-satunya senario yang praktikal, walaupun tempoh kempen mungkin tidak sesingkat sembilan hari seperti apa yang berlaku pada 1999. 

“Tambahan lagi penangguhan yang berlarutan akan memberi risiko pilihan raya terlalu dekat atau dalam tempoh musim tengkujuh," kata satu sumber.

Pembentangan belanjawan tiga minggu lebih awal kepada 7 Oktober bermakna PRU15 boleh diadakan hanya lebih dari sebulan selepasnya.

“Jadi, pada pertengahan November ini semua persoalan akan terjawab”, kata seorang ketua Umno cawangan yang mewakili seorang ketua bahagian parti yang menghadiri mesyuarat parti itu hari ini.

“Jelas sekali, Belanjawan 2023 akan menjadi manifesto bagi BN untuk merampas kembali kuasa, sama seperti Belanjawan 2000 dan Parlimen dibubarkan tidak sampai dua minggu kemudian,” kata sumber itu.

"Apa yang perlu dilakukan ialah mengumumkan belajawan, dan membubarkan Parlimen beberapa hari kemudian."