- Iklan -
Berita

Najib tiba di mahkamah dari Penjara Kajang bagi prosiding kes pinda laporan audit 1MDB

Perbicaraan beliau bersama bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini turut dihadiri isterinya, Rosmah Mansor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta utiliti sukan yang membawa Najib Razak memasuki perkarangan Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama
Sebuah kereta utiliti sukan yang membawa Najib Razak memasuki perkarangan Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama

Najib Razak hari ini hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib, 69, tiba dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 8.48 pagi dari Penjara Kajang diiringi beberapa kenderaan polis dan Jabatan Penjara.

Petugas media dari pelbagai agensi mula berkumpul sejak 8 pagi bagi merakam gambar dan video ketibaan bekas perdana menteri itu serta membuat liputan kes berkenaan.

Isteri Najib, Rosmah Mansor, turut hadir di mahkamah.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pada prosiding hari ini, djangka dua saksi pendakwaan akan memberi keterangan iaitu Arul dan Penguasa Kanan Cawangan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Haniff Lami.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal bayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Semalam, bekas perdana menteri itu hadir  pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah