- Iklan -
Berita

Apakah BN sudah bersedia untuk PRU15?

Penganalisis berkata jentera parti itu mesti disiapkan jika mereka mahu memenangi pilihan raya awal.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motorsikal menunggu lampu merah di sebuah selokah yang digantung bendera Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Seorang penunggang motorsikal menunggu lampu merah di sebuah selokah yang digantung bendera Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Penganalisis berkata Barisan Nasional (BN) perlu bersiap sedia  untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika gesaan meningkat supaya ia diadakan tahun ini juga walaupun penggal masih berbaki setahun daripada tarikh Parlimen selewatnya dibubarkan, iaitu Julai tahun depan. 

Antara yang menggesa PRU15 segera diadakan adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai gabungan diterajui Umno itu. 

Gesaan itu diulang beberapa kali dan disahut oleh kepimpinan Umno yang memihak kepada kluster mahkamah. 

Namun perdana menteri yang juga naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata, dia mahu mendengar laporan daripada pergerakan wanita BN sebelum membubarkan Parlimen seterusnya mengadakan PRU15. 

Penganalisis politik, Azizi Safar berkata apa yang diumumkan oleh Ismail itu ada benarnya. 

Ini kerana, elemen paling penting jentera pilihan raya Umno dan BN adalah pergerakan wanita yang menjalankan kajian sikap pemilih. 

"Untuk menang pilihan raya, parti perlu dapat sokongan majoriti. Maka jentera paling utama adalah jentera yang berkempen untuk dapatkan sokongan pengundi-pengundi. Sejauh mana ini dilakukan?

"Apakah kempen-kempen melalui program-program penerangan kepada rakyat secara bersemuka telah dilakukan? 

“Apakah pula tahap kempen melalui medium lain, sebagai contoh media sosial, atau kempen dalam talian? Apakah penerangan mengenai isu-isu semasa sudah dilakukan untuk memperjelaskan isu-isu itu kepada rakyat?" katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, katanya majlis penerangan mengenai isu-isu semasa diadakan tiga tahun selepas PRU13 ekoran banyak isu yang melingkari pemikiran rakyat antaranya 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Namun akuinya, situasi politik kini tidak sama seperti dahulu. 

"Menuju PRU15, isu yang perlu ditangani oleh parti-parti dalam kerajaan adalah isu-isu "bread and butter" rakyat, iaitu isu kehidupan seharian rakyat. Persoalannya, dalam kerajaan sekarang ada parti-parti yang berkemungkinan akan bertembung sesama sendiri pada PRU15. Pendekatan kempen sudah tidak lagi boleh ikut skema terdahulu," tambahnya.

Azizi yang juga bekas setiausaha BN Pulau Pinang dan mempunyai pengalaman dalam gerakan jentera pilihan raya berkata, terdapat beberapa komponen dalam jentera pilihan raya parti, antaranya jentera khusus untuk operasi pilihan raya, jentera yang bergerak sepanjang masa dan jentera yang berfungsi khusus dalam tempoh pilihan raya sahaja. 

Jentera parti boleh dibahagi mengikut parti komponen, yang mana jentera Umno menjadi tunggak utama di kawasan-kawasan yang ditandingi Umno. 

Begitu juga sebaliknya di kawasan MCA dan MIC. 

"Setiap kawasan Parlimen ada jawatankuasa penyelaras BN kawasan yang dianggotai oleh semua parti komponen dan Friends of BN. Koordinasi kempen antara parti-parti BN dibuat pada peringkat ini," tambahnya. 

Jentera BN antara yang diakui keberkesanannya dalam menggerakkan pengundi semasa pilihan raya. 

Sayap Wanita BN antara diketahui kekuatannya dalam mengembeleng pengundi untuk ke tempat pembuangan undi. 

Ini dapat dilihat apabila Umno berjaya menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, yang mana peratusan undi keluar yang rendah memberi kelebihan kepada gabungan itu. 

Dalam pada itu, bercakap mengenai tindakan BN mahu bergerak solo, penganalisis politik Ahmad Atory Hussain berkata sebarang cakap-cakap mengatakan Umno dan BN mampu bergerak secara solo hanyalah cakap kosong dan bongkak. 

"Realitinya, Umno sukar menang selesa pada PRU15 kali ini tanpa kerjasama dgn Perikatan Nasional (PN). Ini disebabkan Umno tidak segagah dan sekuat sebelum PRU14 dulu. Umno kini lemah, berpecah belah dan bersimpang siur," katanya.

Jelas Atory, rakyat menaruh kepercayaan kepada Umno dan PN serta Pejuang jika mereka bergabung membentuk satu pakatan besar bagi menentang pembangkang yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan Zahid yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah menjadi penghalang utama kepada kerjasama Umno dan PN. 

Dengan ketiadaan mereka, ahli-ahli parti itu dan pengundi berpeluang memperoleh keyakinan baru terhadap kerjasama parti-parti Melayu lain.

Azizi berkata, waktu sesuai untuk diadakan PRU15 ialah selepas Belanjawan 2023 diluluskan Patlimen, iaitu pada pertengahan Disember 2022. 

Ini mampu memberi kelebihan kepada BN sekiranya ia diadakan selepas belanjawan diluluskan. 

"Dalam bajet itu ada banyak 'goodies' untuk rakyat yang disediakan kerajaan yang mana menteri kewangan pun ahli Umno juga,” katanya merujuk kepada Tengku Zafrul Aziz.

“Pada saya masa sesuai untuk PRU15 ialah selepas Tahun Baru Cina tahun depan. Tidak lewat daripada itu.”