- Iklan -
Berita

Najib dalam keadaan sihat, kata Rosmah

Beliau hadir ke mahkamah hari ini bagi memberi sokongan kepada suaminya yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Rosmah Mansor mengesahkan suaminya Najib Razak yang menjalani hukuman penjara bermula Selasa, dalam keadaan sihat.

“Tak ada apa, Datuk Seri sihat, Alhamdulillah,” kata isteri bekas perdana menteri itu ketika ditanya keadaan suaminya, sebelum meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 3.39 petang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir ke mahkamah hari ini untuk memberi sokongan.

Rosmah, 70,  yang berbaju kurung dan berselendang merah jambu, tiba di mahkamah pada 12.20 tengah hari bagi mengikuti perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi suaminya.

Terdahulu peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam perbicaraan kes 1MDB, enggan mengulas keadaan anak guamnya ketika ditanya media.

“Saya tidak boleh kata apa-apa… Saya tidak akan kata apa-apa, kerana anda akan pusing dan ubah perkataan kami, malah ketika di mahkamah.

“Pergilah cari sendiri,” katanya kepada pemberita di luar kompeks mahkamah di Kuala Lumpur.

Sebelum itu anak perempuan Najib, Nooryana Najwa juga enggan mengulas keadaan bapanya ketika ditemui media, sebelum beliau meninggalkan kompleks mahkamah pada 1.33 petang.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.