- Iklan -
Berita

Pendakwaan sambung hujahan lisan dalam rayuan kes SRC Najib

Perbicaraan yang didengari panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat masuk hari kedua.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan akan meneruskan hujahan lisan mereka dalam pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Najib Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram membentangkan penghujahan pada 9.30 pagi ini di hadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. 

Hari ini merupakan hari kedua rayuan itu didengar di hadapan panel yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd. 

Semalam, mahkamah menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Pada 28 Julai 2020, hakim Mohd Nazlan Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.