- Iklan -
Berita

Najib gugurkan firma Zaid Ibrahim dalam rayuan kes SRC

Bekas perdana menteri itu menggugurkan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew daripada mewakilinya dalam usaha akhir mengenepikan sabitan dan hukumannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (kiri) bercakap dengan peguam Hisyam Teh Poh Teik (tengah) Zaid Ibrahim (kanan) di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak (kiri) bercakap dengan peguam Hisyam Teh Poh Teik (tengah) Zaid Ibrahim (kanan) di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos. Gambar: Bernama

Najib Razak menggugurkan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan Th Liew & Partners (ZIST) daripada mewakilinya dalam rayuan kes akhir untuk membatalkan sabitan dan hukuman penyelewengan RM42 juta dana SRC International, kata  peguam Hisyam Teh Poh Teik di Istana Kehakiman hari ini.

Keputusan Najib itu dibuat sehari selepas Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu, mengatakan beliau memerlukan lebih banyak masa kerana tidak bersedia menghadapi kes itu..

Bagaimanapun, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonannya, mengatakan berdasarkan fakta peguam gagal memberikan alasan yang mencukupi untuk menarik diri.

“Teruskan,” kata Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim selepas Hisyam memberitahu perkara tersebut.

Berikutan itu, timbalan pendakwa raya V Sithambaram memulakan penghujahannya.

Pada 26 Julai, ahli Parlimen Pekan itu melantik ZIST untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir bagi mengenepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd selepas menamatkan perkhidmatan firma guaman Tetuan Shafee & Co berkuat kuasa serta-merta. 

Beliau juga melantik Hisyam, daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utamanya untuk menggantikan Muhammad Shafee Abdullah.

Semalam, mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan membentangkan penghujahan.