- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan tetapkan prosiding rayuan akhir Najib pada Khamis

Ia ditetapkan selepas panel hakim menolak permohonan pembelaan untuk mengemukakan bukti tambahan berkait hakim Mohd Nazlan Ghazali.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan rayuan Najib Razak bagi sabitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International pada Khamis.

Penetapan tersebut diambil selepas panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan menambah bukti dan penangguhan pendengaran oleh pembelaan.

"Pendengaran rayuan (akhir) akan diteruskan pada Khamis pukul 9.30 pagi," kata Tengku Maimun.

Pendengaran di Mahkamah Persekutuan itu adalah rayuan terakhir bagi Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang diputuskan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali pada 28 Julai, 2020.

Hakim yang mendengar rayuan akhirnya termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.