- Iklan -
Berita

Ketua hakim negara ketuai pendengaran rayuan, Najib mohon kemuka bukti baru kes SRC

Selain Tengku Maimun Tuan Mat, panel hakim turut dianggotai Abang Hashim, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan empat hakim lain sedang mendengar permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti tambahan dalam kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan dia disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semasa prosiding bermula pada 9.48 pagi.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hari ini, mahkamah dijadual mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes SRC dalam usaha bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan semula.

Bukti tambahan yang cuba dikemukakan oleh Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank pada 2006, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan muktamad dalam pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam seluruh kumpulan.

Sekiranya Najib gagal dalam permohonan ini, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika itu pada 28 Julai, 2020.

Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M Rueben, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh pendakwa raya ad hoc V Sithambaram dengan dibantu oleh timbalan pendakwa raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.