- Iklan -
Berita

Walau sudah beralih ke fasa endemik, isu kesihatan mental kekal jadi kebimbangan

Pertelingkahan politik, kos sara hidup tinggi menjadi antara faktor utama yang jejaskan kesihatan mental masyarakat.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja meletakkan tanda harga baru bagi sepapan telur di sebubah kedai runcit di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Seorang pekerja meletakkan tanda harga baru bagi sepapan telur di sebubah kedai runcit di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Isu mengenai kesihatan mental kekal menjadi kebimbangan walaupun negara sedang mengalami peralihan ke arah fasa endemik Covid-19, di mana  perbalahan politik dan peningkatan kos sara hidup dilihat sebagai antara punca yang boleh menjejaskannya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beberapa pakar psikologi dan kaunselor mengakui rakyat kini masih bergelut untuk kembali bangun selepas menempuh tempoh sukar ketika negara berdepan ancaman penularan Covid-19.

Pengarah Urusan Konsultan Motivasi dan Kaunseling Hushim Salleh berkata masih ramai yang turut merasai impak pandemik pada masa ini meskipun negara sudah masuk ke fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

Hushim yang mempunyai klinik persendirian di Klang, berkata jumlah klien yang berkunjung mendapatkan khidmat kaunseling turut meningkat sejak kebelakangan ini, malah, lebih daripada angka yang diterima ketika tempoh pandemik. 

Katanya, klien yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang, namun isu yang sering diadu ialah berkaitan kehilangan kerja atau punca rezeki.

"Isu buang kerja dilihat menjadi punca yang mendorong kepada masalah-masalah lain seperti pergaduhan rumah tangga dan penceraian," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ada yang meluahkan niat untuk bunuh diri. 

“Ada pula klien yang merupakan remaja enggan sambung sekolah kerana ingin bekerja membantu ibu bapa."

Mengulas lanjut, Hushim berkata, berita mengenai kenaikan kos sara hidup dan pertelingkahan antara pemimpin turut memburukkan lagi keadaan.

Katanya, ditambah dengan laporan-laporan kenaikan gaji dan elaun menteri serta pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut meningkatkan lagi kemarahan rakyat.

Pada 19 Julai lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul menaikkan saraan ketua menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Menerusi kelulusan itu, saraan ketua menteri meningkat daripada RM23,595 kepada RM33,033 manakala timbalan ketua menteri daripada RM20,872.50 kepada RM29,221.50.

Sementara itu yuran tahunan Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd turut dilaporkan meningkat apabila pemegang saham syarikat tersebut memuluskan 13 resolusi pada mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan pada Jun lalu.

Ini menyaksikan elaun pengerusi bukan eksekutifnya meningkat kepada RM480,000 daripada RM300,000 manakala imbuhan pengarah bukan eksekutifnya pula dinaikkan kepada RM120,000 kepada RM150,000.

"Ramai terutama kelas pekerja kini sudah tertekan dari segi emosi, jadi apabila keluar pengumuman begini, sudah tentu mereka marah," kata Hushim yang berpengalaman menjadi kaunselor selama 30 tahun.

Sementara itu, Pakar Psikologi dari UM Awang Idris berpandangan laporan-laporan mengenai kenaikan gaji dalam kalangan menteri dan pengarah GLC serta pertelingkahan dalam kalangan pemimpin tidak memberi kesan secara langsung kepada kesihatan mental masyarakat.

Bagaimanapun, beliau akui ia masih dianggap sebagai satu berita yang tidak baik untuk didengar rakyat kerana ramai masih bergelut untuk bangkit daripada era pandemik.

"Isu dia bukan kerana rakyat buat perbandingan kenapa gaji menteri lebih tinggi, tetapi lebih kepada kenapa gaji mereka sendiri tidak dinaikkan," kata Awang kepada MalaysiaNow.

"Ada kalanya, kemarahan yang kita saksikan ini juga disebabkan sentimen politik.

"Sudah tentu akan ada pihak yang gunakan kenaikan (gaji) ini sebagai senjata politik."

Mengulas mengenai tahap mental masyarakat pada masa ini, Awang berpandangan ia kini secara umumnya lebih baik berbanding ketika era pandemik.

"Ini kerana rakyat sudah boleh melakukan apa yang boleh dilakukan dan sebagainya," kata Awang yang merupakan penulis dan penerbit beberapa buah buku mengenai bidang ini termasuk "Bias dalam Penyelidikan Sains Sosial" yang diterbitkan pada 2021.

Dalam usaha meningkatkan tahap mental masyarakat, Awang menyarankan supaya kerajaan mencari jalan menyelesaikan isu rakyat seperti kenaikan harga barang dan meningkatkan peluang pekerjaan.

"Rakyat pula tak wajar terperangkap dengan isu-isu politik dan wajar memberikan isyarat kepada ahli politik untuk berehat seketika dari terus bermain dengan berbagai sentimen," tambahnya.