- Iklan -
Berita

Muhyiddin gesa Kabinet tubuh RCI siasat skandal LCS

Pengerusi Perikatan Nasional itu menyifatkan amalan rasuah kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional sebagai barah di mana skandal rasuah terus menghantui negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menggesa Kabinet supaya mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Muhyiddin menyifatkan ia adalah skandal terbaru kerajaan kleptokrasi terdahulu yang menyebabkan kerugian sebanyak berbilion ringgit.

“Walaupun pemerintahan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) berakhir pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, namun sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya menggesa Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.” 

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu pun kapal yang disiapkan. 

Menurut PAC, kontrak projek bernilai bernilai RM6.083 bilion itu diberikan secara rundingan terus di mana lima kapal perlu disiapkan dan diserah bulan ini.

Semalam, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kerajaan akan melaporkan jadual perkembangan projek LCS itu secara berperingkat.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan diberi masa enam bulan bagi memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek tersebut dan yakin kapal pertama akan siap dalam masa dua tahun lagi.

"Saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat pembinaan kapal tersebut," kata Hishammuddin pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PN menentang keras amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi barah dalam pemerintahan kleptokrasi BN dan tidak akan membiarkan ia berulang kembali dalam negara.

“PN menentang keras amalan kotor ini dan tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.”

Muhyiddin turut menyatakan rasa terkejut berhubung pendedahan panglima TLDM yang mengatakan bantahannya tidak diendahkan oleh menteri pertahanan pada 2011.

“Untuk rekod, menteri pertahanan ketika itu ialah presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional pada masa ini,” katanya merujuk Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah di mahkamah.

Zahid merupakan menteri pertahanan pada tahun 2009 sehingga 2013 di bawah pentadbiran BN yang diketuai Najib Razak ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan BN tumbang pada 2018 selepas terpalit skandal rasuah 1MDB melibatkan penyelewengan dana berbilion dolar.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan kesalahan melibatkan tujuh pertuduhan pecah amanah, dan pengubahan wang haram berkait dana RM42 juta SRC International. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau kini sedang menunggu perbicaraan rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.