- Iklan -
Berita

Lelaki ditahan letak vape pada mulut bayi

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda.

Seorang lelaki dipercayai meletakkan vape pada mulut seorang bayi dalam kejadian di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, ditahan semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Utara (JBU) Rupiah Abd Wahid berkata peniaga warga tempatan berusia 23 tahun itu ditahan pada 12.45 tengah hari semalam.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis oleh ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu pada 6 Ogos lepas, turut menjelaskan bahawa lelaki terbabit adalah kenalan adik perempuannya.

“Menurut pengadu, ketika kejadian dia bersama mangsa (bayinya), adik perempuan dan lelaki terbabit sedang berada di kedai makan.

“Tiba-tiba lelaki itu yang sedang memangku mangsa, dengan niat bergurau telah meletakkan vape yang tidak berfungsi pada mulut mangsa dan kejadian itu dirakam adiknya, seterusnya dimuat naik di laman media sosial oleh adiknya dan tular,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan dan permohonan reman terhadap lelaki terbabit akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Rupiah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata orang ramai turut dinasihati agar tidak mengeluarkan sebarang komen atau maklumat tidak benar dan bertanggungjawab menerusi media sosial, bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, video berdurasi 17 saat memaparkan seorang lelaki meletakkan vape pada mulut bayi yang sedang dipangkunya itu, telah tular di media sosial serta mendapat kecaman serta reaksi daripada pelbagai pihak.