- Iklan -
Berita

Singapura gantung 2 lagi banduan selepas putuskan rayuan pada tengah malam

Banduan yang terlibat dalam saman yang membolehkan mereka menangguh pelaksanaan hukuman terpaksa menunggu sehingga 10 jam hanya untuk diberitahu mereka menyalahgunakan proses mahkamah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang aktivis memakai kemeja yang memaparkan bantahan terhadap hukuman mati ketika demonstrasi di Speakers' Corner di Singapura pada 3 April. Gambar: AFP
Seorang aktivis memakai kemeja yang memaparkan bantahan terhadap hukuman mati ketika demonstrasi di Speakers' Corner di Singapura pada 3 April. Gambar: AFP

Dua lagi banduan bilik akhir digantung sampai mati awal pagi tadi yang dijalankan secara serentak hari ini di Penjara Changi Singapura selepas menunggu 10 jam sehingga melewati tengah malam bagi mengetahui sama ada rayuan mereka berjaya di mahkamah.

Abdul Rahim Shapiee menjalani hukuman mati bersama Ong Siew Ping yang turut didakwa bagi kesalahan berkait dadah, selepas sepanjang minggu ini mahkamah memberikan tempoh masa yang ketat kepada 24 banduan yang memfailkan saman terhadap kerajaan kerana gagal mendapatkan khidmat peguam yang dilihat takut mewakili banduan bilik akhir ekoran hukuman berat yang boleh dikenakan terhadap mereka.

Pada 3 Ogos, mahkamah Singapura menolak saman yang difailkan 24 banduan yang mendakwa dihalang untuk mendapatkan akses guaman ekoran suasana ketakutan yang dicetuskan hukuman berat yang dikenakan ke atas peguam yang mewakili banduan bilik akhir seperti mereka.

Penolakan saman itu diputuskan oleh mahkamah selepas mereka diberitahu supaya mengemukakan hujahan terperinci bagi menyokong kes walaupun tidak diwakili peguam.

Berikutan tiada peguam yang sanggup mewakili, salah seorang banduan bilik akhir, Iskandar Rahmat bertindak menjadi wakil bagi pihak mereka.

Malam tadi, selepas menunggu selama 10 jam bagi mengetahui keputusan rayuan, hakim akhirnya mengumumkan pada pukul 12.40 bahawa mahkamah menolak saman mereka, mengatakan ia adalah "penyalahgunaan proses mahkamah” sekali gus menjadikan pelaksanaan hari ini tetap diteruskan hanya beberapa jam selepas keputusan itu dibuat.

Keputusan itu dibaca selepas mahkamah meminta mereka memberikan contoh khusus bagi menyokong dakwaan bahawa peguam tidak mahu mengambil kes, dan menyerahkannya dalam masa beberapa jam.

Iskandar berkata banduan bergantung dengan lawatan ahli keluarga dalam menyediakan afidavit yang diminta mahkamah.

"Kami terkejut dan tidak bersedia sama sekali untuk melakukan persiapan bagi sebuah perbicaraan yang tergesa-gesa,” kata Iskandar dipetik Kirsten Han, salah seorang aktivis yang lantang dalam membantah hukuman mati di penjara Singapura.

Han berkata, selain Rahim, tiada seorang pun daripada kesemua 24 banduan itu menerima lawatan keluarga sejak saman itu difailkan.

"Oleh itu, tiada cara untuk mereka berkomunikasi dengan keluarga mengenai perkara ini."

Hukuman gantung yang dilaksanakan hari ini menjadikan bilangan banduan yang menjalani hukuman mati di Singapura sebanyak 10 orang dalam tempoh empat bulan, ketika republik itu terus membidas kecaman antarabangsa ekoran pelaksanaan hukuman mati yang merekodkan angka tertinggi tahun ini di Asia Tenggara.

Badan antarabangsa seperti Amnesty International dan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah turut senada dengan aktivis dan peguam yang berkempen supaya Singapura menamatkan hukuman mati.

“Daripada menjadi pencegah unik terhadap jenayah, pelaksanaan hukuman mati itu hanya menunjukkan betapa pihak berkuasa Singapura tidak menghiraukan hak asasi manusia dan hak untuk hidup," kata kumpulan hak asasi antarabangsa itu pada 22 Julai dalam sebuah kenyataan tegas yang tidak akan mendapat ruang di ruangan media yang dikawal ketat kerajaan Singapura. 

Kerajaan Singapura sering membidas mereka yang mempersoalkan dasar hukuman matinya, walaupun statistik menunjukkan kebanyakan yang dihukum bunuh adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin.

Namun sebaliknya, kerajaan diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu tetap menegaskan hukuman mati yang dilaksanakannya berjaya menjadi pencegah jenayah dadah.