- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan rayuan kerajaan, tamparan terhadap kerakyatan setara

Panel tiga hakim menyampaikan penghakimannya dalam keputusan 2-1 hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan kerakyatan automatik bagi kanak-kanak kelahiran luar negara oleh wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan kerakyatan automatik bagi kanak-kanak kelahiran luar negara oleh wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan kanak-kanak kelahiran luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan automatik, memberi tamparan terhadap usaha kerakyatan setara di Malaysia.

Panel tiga orang hakim menyampaikan penghakiman dalam keputusan 2-1 hari ini.

Sebelum ini, panel hakim dijadualkan menyampaikan keputusan mereka mengenai dua rayuan pada 22 Jun, namun ia ditangguhkan bagi penyerahan selanjutnya.

Rayuan pertama kerajaan membabitkan Persatuan Sokongan Keluarga & Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing manakala satu lagi kes  membabitkan seorang wanita yang dilahirkan di luar negara di mana ibunya adalah warga Malaysia.

Bagi kes tersebut, kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 yang mengiktiraf anak kepada ibu Malaysia yang dilahirkan di luar negara mempunyai hak automatik menjadi rakyat Malaysia.

Sementara bagi kes kedua, Mahisha Sulaiha, yang dilahirkan di India oleh ibu warga Malaysia dan bapanya yang merupakan warga India, merayu terhadap penolakan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 terhadap samannya yang difailkan olehnya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia berhak menjadi warganegara Malaysia.

Family Frontiers dalam satu kenyataan berkata keputusan hari ini bermakna perjuangan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak kelahiran luar negara akan diteruskan.

"Ini sememangnya satu keputusan yang dikesalkan tetapi kami tidak akan  dihalang olehnya,” kata presiden kumpulan itu, Suriani Kempe.

“Kami akan merayu keputusan ini di Mahkamah Persekutuan dan akan terus yakin dengan sistem keadilan kita.

"Kami berdiri teguh dengan kepercayaan bahawa suatu hari nanti, kerajaan akan melihat kami, wanita Malaysia, sebagaimana kami melihat diri kami sendiri – sebagai warganegara yang setara, dan anak-anak kami juga mempunyai hak yang sama untuk menjadi rakyat Malaysia sebagaimana anak-anak kepada lelaki warga Malaysia."