- Iklan -
Berita

2 peguam positif Covid, perbicaraan kes rasuah Zahid ditangguh

Perbicaraan akan disambung pada 22 Ogos ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapi Ahmad Zahid Hamidi ke 22 Ogos berikutan dua peguamnya dijangkiti Covid-19.

Peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Zahid memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa peguam utama kes itu, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh dijangkiti Covid-19.

“Pihak kami telah memfailkan surat kepada mahkamah pada 2 dan 3 Ogos lepas dengan menyatakan peguam Hisyam dan Hamidi dijangkiti Covid-19 dan kami mohon supaya tarikh perbicaraan hari ini ditukar kepada sebutan dan perbicaraan seterusnya pada 22 Ogos,” katanya.

Timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob tidak membantah perkara itu.

Hakim Sequerah kemudian berkata berdasarkan alasan yang dikemukakan pihak pembelaan, tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan dan akan bersambung pada 22 Ogos ini.

Pada prosiding hari ini, Zahid sepatutnya disoal balas pihak pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapi ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad, 69, berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.