- Iklan -
Berita

PBB kecam pelaksanaan hukuman mati terbaru di Singapura

Mereka berkata terdapat konsensus semakin meningkat berhubung pemansuhan hukuman mati di seluruh dunia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menyalakan lampu ketika acara nyalaan lilin untuk Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum mati kerana disabitkan kesalahan menyeludup heroin, di Speakers' Corner, Singapura pada 25 April, dua hari sebelum pelaksanaan hukumannya. Gambar: AFP
Orang ramai menyalakan lampu ketika acara nyalaan lilin untuk Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum mati kerana disabitkan kesalahan menyeludup heroin, di Speakers' Corner, Singapura pada 25 April, dua hari sebelum pelaksanaan hukumannya. Gambar: AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan Singapura yang melaksanakan hukuman mati ke atas dua banduan, dan rancangan untuk menggantung dua lagi pada Jumaat, menggesa republik itu menghentikan penggunaan hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah.

Dalam satu kenyataan, jurucakap PBB Liz Throssell berkata pihaknya "kesal" dengan pelaksanaan hukuman gantung secara serentak terhadap dua banduan semalam dan “sangat terganggu” dengan rancangan pihak berkuasa negara itu yang akan menjalankan dua lagi hukuman pada 5 Ogos.

Beliau berkata Abdul Rahim Shapiee dan Ong Seow Ping, yang disabitkan kesalahan secara bersama pada 2018 kerana memiliki dadah bagi tujuan pengedaran, dijangka akan menjalani hukuman gantung Jumaat ini.

Menurutnya, keluarga Rahim dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman mati itu pada 29 Julai lalu.

Menyifatkan hukuman mati sebagai tidak konsisten dengan hak untuk hidup dan bebas daripada penyeksaan, layanan atau hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah, kenyataan itu turut mengatakan konsensus mengenai pemansuhan hukuman mati kini semakin meningkat di seluruh dunia.

"Kami menggesa pihak berkuasa Singapura untuk hentikan semua hukuman mati yang dijadualkan, termasuk Rahim dan Ong," katanya.

“Kami juga menyeru kerajaan Singapura untuk menamatkan penggunaan hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah, meringankan semua hukuman mati kepada hukuman penjara dan segera meletakkan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman, dengan tujuan untuk memansuhkan hukuman mati. "

Pelaksanaan hukuman mati di Singapura semalam menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang digantung di Penjara Changi kepada lapan orang sejak Februari lalu.

Peguam dan aktivis turut menegaskan mereka yang dihukum mati di bawah undang-undang itu kebanyakannya adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara sebahagian besar dalang utama sindiket dadah terus terlepas bebas.

Bagaimanapun, mahkamah Singapura tetap menolak hujah sedemikian.

Pertubuhan hak asasi global Amnesty International juga turut menyelar siri pelaksanaan hukuman mati di Singapura, mengatakan hukuman mati bagi kesalahan berkait dadah adalah bertentangan dengan undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

“Daripada menjadi pencegah unik terhadap jenayah, pelaksanaan hukuman mati itu hanya menunjukkan betapa pihak berkuasa Singapura tidak menghiraukan hak asasi manusia dan hak untuk hidup," kata pakar hukuman mati di Amnesty, Chiara Sangorgio.