- Iklan -
Berita

Lelaki didakwa rasuah dapatkan tender cetak notis saman polis

Mohd Shazwan Shaharuddin mengaku tidak bersalah selepas lapan pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rozina Ayob.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Seorang pemilik syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan rasuah bagi mendapatkan tender berhubung kerja-kerja pembekalan, pemprosesan dan percetakan notis saman polis kepada sebuah syarikat antara 2019 dan 2020.

Mohd Shazwan Shaharuddin, 37, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, Shazwan didakwa secara rasuah bersetuju menerima bagi dirinya daripada pekerja Syarikat SR Express (M) Sdn Bhd, Ukasyah Amiruddin, 33, suatu suapan 5% daripada nilai tender iaitu RM2,122,500 sebagai upah kerana membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos notis saman polis kepada syarikat itu di sebuah bistro di Taman Melawati di sini pada 11 malam, Julai 2019.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan daripada individu sama berjumlah RM568,000 melalui cek dan wang tunai sebagai upah untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja serupa terhadap syarikat sama di sebuah bank di Jalan Ampang dan sebuah rumah di Jalan Melati Indah, Tiara Kemensah di Kuala Lumpur antara 24 Februari hingga 13 Oktober 2020, mengikut seksyen sama.

Timbalan pendakwa raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai menawarkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu.

Peguam Ridha Abdah Subri, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM50,000 dengan dua penjamin dan pasport anak guamnya akan diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai atas alasan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

"Perniagaan anak guam saya terjejas ekoran pandemik Covid-19 dan dia juga merupakan penanggung tunggal keluarga," kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran dan menetapkan 7 September untuk sebutan semula kes.