- Iklan -
Berita

Pasukan pembelaan baru Najib gagal tangguhkan rayuan akhir kes SRC

Perbicaraan akan dijalankan seperti yang dijadualkan sebelum ini pada 15 Ogos depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Pasukan pembelaan Najib Razak yang baru dilantik gagal dalam usaha mereka untuk menangguhkan perbicaraan rayuan akhir bekas perdana menteri itu bagi sabitan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan bulan depan.

Sehubungan itu rayuan berkenaan akan didengar di mahkamah selama 10 hari mulai 15 Ogos seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Sebelum ini, Najib diwakili firma Tetuan Shafee & Co, di mana Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam utamanya.

Bagaimanapun, pada saat akhir, beliau menggantikan peguam yang mewakilinya dari firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners.

Peguam barunya, Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan perbicaraan tersebut susulan pelantikan firma itu baru-baru ini.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan bersalah bagi jenayah pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pada Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Ketika membacakan penghakimannya, hakim Mahkamah Rayuan menyifatkan pemindahan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadinya sebagai "memalukan negara".

Bekas perdana menteri itu kemudiannya memulakan memohon supaya Najib dapat diwakili peguam diraja UK bagi proses rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu mangatakan rayuan akan melibatkan isu baru, serius, dan rumit, dan Peguam Diraja UK Jonathan Laidlaw, memiliki kelayakan khas di mana pengalaman dan kepakarannya tidak dimiliki peguam yang ada di Malaysia.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw pada 21 Julai lalu.