- Iklan -
Berita

Tak salah BN nak 'berangan' tawan Pulau Pinang, kata penganalisis

Namun mereka berkata BN hampir mustahil menumbangkan DAP yang menjadi tonggak utama PH di Pulau Pinang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pekerja parti mengibarkan bendera Barisan Nasional di Jalan Bukit Senjuang di Melaka ketika kempen pilihan raya negeri tahun lalu.
Pekerja parti mengibarkan bendera Barisan Nasional di Jalan Bukit Senjuang di Melaka ketika kempen pilihan raya negeri tahun lalu.

Penganalisis politik tidak berkongsi keyakinan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengenai prospek Barisan Nasional (BN) menawan semula Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). 

Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pentadbiran negeri selama tiga penggal bermula 2008 yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Lim Guan Eng yang merupakan setiausaha agung DAP dilantik menjadi ketua menteri menggantikan Koh Tsu Koon dari parti Gerakan. 

Menurut bekas setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Azizi Safar politik negeri Pulau Mutiara itu tidak boleh disamakan dengan Johor dan Melaka yang menyaksikan kemenangan besar gabungan itu pada PRN kedua-dua negeri itu. 

"BN tidak kalah di Melaka, Johor dan Sarawak pada 2008," katanya. 

Katanya, walaupun tidak salah untuk “berangan” situasi politik dan semasa negeri itu, BN hampir mustahil menumbangkan DAP yang menjadi tonggak utama PH di Pulau Pinang. 

Tambah Azizi, kepimpinan tertinggi Umno dan BN di Kuala Lumpur tidak pernah terfikir untuk memenangi semula kerajaan negeri Pulau Pinang. 

Ini meskipun banyak wang daripada syarikat 1MDB dihabiskan di Pulau Pinang oleh badan bukan kerajaan kerana perdana menteri ketika itu Najib Razak diyakinkan BN boleh menang semula jika mengguna pakai khidmat NGO-NGO itu. 

"DAP dan Pakatan Harapan masih kuat. Walaupun mungkin sedikit kurang sokongan, namun belum cukup untuk BN kalahkan DAP di Pulau Pinang," tambah Azizi.

Mohamad atau mesra dipanggil Tok Mat menyatakan BN mampu menawan Pulau Pinang ketika melancarkan jentera BN Pulau Pinang. 

Katanya, ini berdasarkan kekalahan DAP di kubu kuat parti itu di Melaka, Johor dan Sarawak.

Pada PRU14, BN memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS berjaya menang satu kerusi di Pulau Pinang. 

Baki 37 kerusi menjadi milik PH yang bertanding di atas logo PKR.

Bagi kedudukan terkini, PH memegang 33 kerusi DUN, Perikatan Nasional (lima) manakala BN kekal dua. 

Daripada jumlah itu, DAP mempunyai jumlah kerusi paling banyak iaitu 19 kerusi, diikuti PKR (12) dan Amanah (dua).

Pengarah eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, tidak semudah itu untuk BN merampas semula Pulau Pinang. 

Katanya, latar PRU dan PRN berbeza-beza.

"Ini kerana isu, tumpuan jentera boleh dipusatkan kepada kawalan dalam kawasan pilihan raya yang lebih kecil. 

“Manakala jika PRU, masing-masing menumpukan kepada kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Institut Jeffrey Cheah, Wong Chin Huat berkata, telahan Tok Mat itu hanya mungkin jika kadar keluar mengundi jatuh di bawah 60%, seperti di Johor yang menyaksikan hanya 55% peratusan keluar undi.

"Dengan kadar mengundi yang begitu rendah, bermaksud semua parti dan gabungan tinggal pengundi tegar saja kerana pengundi di atas pagar menyertai 'parti aku malas undi'," katanya sinis, merujuk kepada sikap tidak mahu turun mengundi yang dapat dilihat dalam kalangan pengundi menerusi beberapa siri PRN baru-baru ini. 

Jelas beliau, BN mempunyai kelebihan jika hanya pengundi tegar yang keluar mengundi untuk parti-parti yang bertanding. 

"Nilai undi pengundi BN lebih tinggi daripada nilai undi pengundi pembangkang. 

“Ini adalah hasil persempadanan kawasan pilihan raya yang berat sebelah selama ini," katanya. 

Wong berkata, DAP dijangka dapat mempertahankan kebanyakan kerusinya sekalipun kadar mengundi jatuh, walaupun sukar untuk memenangi kesemua 19 kerusi yang disandang. 

"Isu bekalan air dan penambakan akan menarik perhatian pengundi," katanya ketika ditanya isu-isu negeri yang bakal mewarnai PRU15.

Menjelang PRU15, Hisommudin berkata isu kenaikan harga barang, kejatuhan harga sawit dan kekurangan bahan makanan bakal memberi tekanan kepada kerajaan berbanding semasa PRN lalu. 

"Dengan membuat unjuran ke hadapan, dengan masalah ekonomi global yang makin memburuk, skala ketidakpuasan hati rakyat terhadap langkah kerajaan dijangka makin meningkat. 

“Ini akan memberikan kesan langsung kepada populariti BN yang kini memimpin kerajaan persekutuan," tambah Hisommudin. 

Katanya, ucapan Tok Mat lebih kepada menyuntik “elemen motivasi” kepada jentera. 

Dalam pada itu, Azizi berkata peluang BN di negeri tersebut bakal menjadi lebih sukar jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara PH, PN dan BN.