- Iklan -
Berita

PN akan hantar delegasi bincang terma perjanjian belum dipenuhi dengan PM

Majlis Tertinggi PN menganggap perdana menteri tidak bersungguh dalam memenuhi terma perjanjian antara beliau dengan gabungan itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) hari ini berkata ia mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan terma perjanjiannya dengan gabungan itu, mendakwa ia tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu semalam, yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin melahirkan kekecewaan terhadap tindakan Ismail yang tidak bersungguh dalam memenuhi terma dalam perjanjian itu.



“Mesyuarat juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan perdana menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.

“PN akan menghantar delegasi untuk bertemu dengan Ismail bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.”

Pada Julai, Muhyiddin berkata beliau mengutarakan kepada Ismail beberapa perkara dalam perjanjian antara kedua-dua pihak untuk dipertimbangkan termasuk jawatan timbalan perdana menteri.

"Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu tetapi hanya soal pelantikan timbalan perdana menteri dan menteri, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan," katanya.

Menurut pegawai Muhyiddin, perjanjian mengenai lantikan timbalan perdana menteri itu turut disaksikan seorang menteri dari Umno.

“Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri dari parti Bersatu dan seorang menteri dari parti Umno,” kata Marzuki Mohamad yang merupakan bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri dalam sebuah kenyataan.