- Iklan -
Berita

Ismail bertemu presiden Turkiye dalam lawatan rasmi

Perdana menteri dan Recep Tayyip Erdogan dijangka saling bertukar pandangan isu serantau dan antarabangsa terutama mengenai keselamatan makanan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa, Ankara semalam. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa, Ankara semalam. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Turkiye akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Ankara hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka saling bertukar pandangan berhubung usaha mengukuhkan hubungan, antara dua negara, di samping berbincang mengenai isu-isu melibatkan perkembangan serantau dan antarabangsa, terutama yang berkaitan dengan sekuriti makanan dalam pertemuan di Istana Presiden itu nanti.

Ia diikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia dan Turkiye.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamad Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad, dan Duta Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Ismail dan Erdogan juga dijadualkan menyaksikan majlis menandatangani tujuh Memorandum Persefahanan, sebelum mengadakan persidangan media.

Erdogan kemudiannya akan menganjurkan majlis makan tengah hari untuk delegasi Malaysia.

Terdahulu hari ini Ismail Sabri mengunjungi Kemal Ataturk Memorial dan menandatangani buku pelawat memorial berkenaan, yang dibangunkan sebagai penghormatan kepada pengasas dan presiden pertama negara Turki moden itu.

Rabu, perdana menteri melawat dua penggiat utama dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di Turkiye iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI), selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama teknologi dengan negara itu.

Perdana menteri dijadualkan kembali ke tanah air pada hari Jumaat.