- Iklan -
Berita

Malaysia ambil langkah positif, Singapura ‘berilusi’ dengan hukuman gantung mati

Lawyers for Liberty berkata tindakan berterusan menggantung mati keldai dadah menunjukkan Singapura 'lebih suka berilusi' daripada menyelesaikan isu penyeludupan dan pengedaran dadah di rantau ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong berkumpul di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bagi membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam, yang dihukum gantung sampai mati pada 27 April.
Penyokong berkumpul di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bagi membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam, yang dihukum gantung sampai mati pada 27 April.

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam berita terbaru mengenai perlaksanaan hukuman mati rakyat Malaysia di Singapura dengan membandingkan negara tersebut dengan Malaysia yang baru-baru ini bertindak untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek berkata hukuman mati bagi jenayah dan kesalahan dadah sudah pun diisytiharkan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa sebagai pembunuhan secara tidak sah oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia sudah mengambil langkah positif ke arah pemansuhannya dengan moratorium yang berpanjangan dan kini kerajaan berjanji untuk memansuhkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Singapura mengambil pendekatan berbeza dengan norma antarabangsa dan bertegas untuk meneruskan pelaksanaan hukuman tersebut.

Kalwant Singh disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati pada 24 Oktober 2013 kerana mengedar lebih daripada 60g diamorphine ke dalam republik itu.

Singapura merupakan antara negara yang mempunyai beberapa undang-undang dadah yang paling keras di dunia.

Dia disabitkan kesalahan atas keterangan tertuduh bersama dan menegaskan bahawa sama sekali tidak tahu dia membawa dadah.

Dia dijadualkan untuk digantung hingga mati di penjara Changi pada 7 Julai.

Zaid berkata Kalwant berada dalam senarai panjang rakyat Malaysia dijadualkan untuk temu janji dengan hukuman gantung di Singapura.

“Hukuman mati adalah satu bentuk hukuman kuno dan kejam yang tidak membasmi jenayah serius,” katanya.

“Ia tidak boleh dipulihkan dan satu bentuk penafian muktamad ke atas hak asasi manusia. Terus menggantung keldai dadah dengan mengetahui sepenuhnya bahawa keldai dadah mudah digantikan oleh tokan-tokan dadah menunjukkan bahawa Singapura lebih suka ilusi daripada benar-benar menyelesaikan perdagangan dadah dan bahan terlarang di rantau ini.”

Zaid menggesa Singapura menghentikan hukuman mati terhadap Kalwant dan menyeru supaya Putrajaya membuat representasi segera kepada republik itu untuk menyelamatkan rakyatnya daripada digantung mati.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianow

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.