- Iklan -
Berita

Ahli Umno perlu sokong kepimpinan Ismail sebagai PM, kata Annuar

Annuar berkata tindakan ahli parti memperlekehkan perdana menteri ke-9 itu tidak menunjukkan semangat kepartian yang baik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Umno Ketereh Annuar Musa (kiri) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno berbual. Gambar: Bernama
Ketua Umno Ketereh Annuar Musa (kiri) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno berbual. Gambar: Bernama

Ahli-ahli Umno sewajarnya menyokong kepimpinan Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri apabila berjaya memimpin negara dengan menyelesaikan pelbagai isu yang amat mencabar yang tidak pernah dialami mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata tindakan ahli parti yang memperlekehkan perdana menteri ke-9 itu tidak menunjukkan semangat kepartian yang baik.

“Tak malu ke orang parti kita sendiri cuba melemahkan PM (perdana menteri) daripada parti kita yang hanya ada 38 kerusi?,” katanya dalam satu sidang media.

Annuar berkata kepimpinan Ismail seharusnya mendapat sokongan kerana beliau telah mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik Covid-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui memorandum persefahaman (MoU).

“Perkara-perkara ini meletakkan PM Ismail dari Umno dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh Umno dan mewakili parti Umno,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail sebagai perdana menteri Umno paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Annuar berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.

“Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu… dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.

Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan Covid-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.

Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli Umno yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri.