- Iklan -
Berita

Keputusan rayuan kerajaan kes kerakyatan setara ditangguh ke 5 Ogos

Keputusan mahkamah ditangguhkan berikutan penghujahan tambahan yang dibangkitkan kerajaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Malaysia berkibar di Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Gambar: Bernama
Bendera Malaysia berkibar di Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Gambar: Bernama

Keputusan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan secara automatik ditangguhkan ke 5 Ogos.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada hakim Kamaludin Md Said, Azizah Nawawi dan S Nantha Balan akan menyampaikan keputusan mereka di mahkamah terbuka.

Hakim Kamaludin mencadangkan agar keputusan itu disampaikan di mahkamah terbuka dan bukannya secara atas talian kerana peguam pemantau dan media mungkin mahu hadir dalam penyampaian keputusan tersebut.

Sebelumnya, keputusan dua rayuan tersebut dijadualkan akan disampaikan hari ini, namun ia ditangguhkan bagi mendengar penghujahan tambahan yang dibangkitkan peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili kerajaan.

Kedua-dua rayuan itu melibatkan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, dan satu lagi kes melibatkan seorang wanita yang lahir di luar negara yang ibunya adalah warga Malaysia.

Dalam prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, Liew berkata keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menurutnya mempunyai kesan langsung ke atas kes kewarganegaraan.

Beliau berkata susulan keputusan kes Dhinesh a/l Tanaphil lwn lembaga pencegahan jenayah yang diputuskan pada April lepas, didapati Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda kerana ia merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pindaan pada 2001 kepada Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk melarang diskriminasi jantina adalah tidak dibenarkan.

Dalam hujahnya, beliau berkata pindaan Perkara 8 (2) yang menyatakan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, atau jantina dalam mana-mana undang-undang, tidak terpakai kepada Perkara 14 (2) Perlembagaan Persekutuan, peruntukan kewarganegaraan.

Liew berkata perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai “ibu” kerana peruntukan itu tidak boleh dipinda.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir untuk membenarkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang, beliau telah memutuskan bahawa perkataan “bapa” dalam Seksyen 1(b) mestilah dibaca termasuk ibu.

Beliau juga memutuskan Perkara 14(1)(b) bersama Seksyen 1(b) Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berasaskan jantina.

Dalam prosiding hari ini, peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili ibu-ibu dan Family Frontier, berhujah bahawa penghakiman dalam kes Dhinesh harus dibaca secara keseluruhan dan tidak mengangkat sebahagian daripadanya.

Penghakiman itu katanya, apabila dibaca secara keseluruhannya menyokong penambahbaikan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 8 (2).

Beliau berkata adalah menjadi tugas mahkamah untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang harmoni memandangkan rayuan itu melibatkan kanak-kanak dan keluarga.

Peguam Cyrus Das yang mewakili Mahisha Sulaiha Abdul Majeed berkata hujah Liew tidak sepatutnya dilayan oleh mahkamah.

Bagi kes pertama, kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September tahun lepas yang mengiktiraf anak kepada ibu warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara mempunyai hak automatik menjadi rakyat Malaysia.

Bagi kes kedua, Mahisha Sulaiha, yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia dan bapa warga India di India, merayu terhadap penolakan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 terhadap samannya yang difailkannya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Dalam saman mereka, antara lain, ibu-ibu itu mahu perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia, mengeluarkan dokumen berkaitan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing.