- Iklan -
Berita

Khairy tarik balik rayuan saman fitnah Anwar

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membatalkan dua permohonan kebenaran rayuan yang difailkan Khairy dengan kos RM5,000 bagi setiap rayuan

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Khairy Jamaluddin menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah bahawa beliau bertanggungjawab memfitnah Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral yang dibuat 14 tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Nallini Pathmanathan, kemudian membatalkan dua permohonan kebenaran rayuan yang difailkan Khairy dengan kos RM5,000 bagi setiap rayuan.

Keputusan itu dibuat selepas peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu pada April lepas.

Khairy memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau bertanggungjawab memfitnah Anwar dan keputusan mahkamah yang sama yang menolak rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaan berhubung saman fitnah oleh ketua pembangkang itu.

Terdahulu, Sarah menawarkan kos sebanyak RM1,000 untuk setiap rayuan atas alasan penarikan dibuat pada peringkat awal.

“Kami telah memfailkan usul itu pada 7 Mac dan perkara itu disenaraikan untuk e-Review (di mahkamah) pada 6 April.

“Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 11 Ogos untuk perkara ini. Kami sebenarnya menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik rayuan pada April,” katanya kepada panel hakim itu yang termasuk Zabariah Mohd Yusof dan Rhodzariah Bujang.

Peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar berkata RM5,000 bagi setiap rayuan di hadapan mahkamah tertinggi adalah munasabah.

“Usul (permohonan kebenaran merayu) yang disampaikan kepada kami mengandungi 10 jilid. Kami terpaksa menjawab perkara yang dibangkitkan dan rakan saya yang hadir bersama saya, Cik Leela juga menyediakan draf penghujahan,” tambahnya.

Pada 7 Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khairy untuk mencabar saman fitnah Anwar selepas memutuskan bahawa tiada kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan rayuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan yang dipertikaikan oleh Khairy, dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna sejadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.

Selain itu, Mahkamah Rayuan juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kuantum ganti rugi RM150,000 yang diberikan kepada Anwar, tidak berlebihan.

Pada 7 Mac 2008, Anwar, yang merupakan presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu menteri belia dan sukan serta naib ketua Pemuda Umno, kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya semasa ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun yang sama yang membawa kepada penyiaran klip video di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan mendapati Khairy bertanggungjawab atas fitnah dan oleh itu memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Hakim juga menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya dengan mengatakan bahawa kenyataannya adalah komen yang wajar.

Khairy kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tetapi pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan telah membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.