- Iklan -
Berita

Anwar punca PH tumbang, kata Dr Mahathir

Mahathir berkata beliau akan kekal sebagai perdana menteri Pakatan Harapan jika mendapat undi sokongan yang diberikan kepada Anwar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama dalam satu protes di Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama dalam satu protes di Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Anwar Ibrahim kerana menjadi punca kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2020, mengatakan beliau akan terus menjadi perdana menteri jika bukan kerana presiden PKR itu.

Dalam wawancara Utusan Malaysia, beliau berkata ia juga dapat menghalang Barisan Nasional (BN) dan Umno daripada kembali menduduki kepimpinan kerajaan negara ketika ini.

“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi perdana menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli Parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.

“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain orang lain saya tak tahu siapa.

Mahathir berkata jika beliau mendapat 92 undi dari PH, beliau akan ada 154 undi sokongan ahli Parlimen beliau akan kekal menjadi perdana menteri.

“Tapi dia bagi saya kalah, dia pun kalah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 2018, PH mengalahkan BN yang memerintah kerajaan lebih enam dekad.

Bagaimanapun, selepas 22 bulan menduduki Putrajaya, gabungan itu tumbang ekoran desakan dalaman supaya Mahathir meletakkan jawatanya sebagai perdana menteri bagi memberikan laluan kepada Anwar seperti yang dipersetujui bersama.

Pentadbiran kerajaan kemudiannya diambil alih Perikatan Nasional (PN) dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyaksikan Umno kembali menganggotai Kabinet persekutuan.

Namun Muhyiddin hilang majoriti pada tahun lalu selepas ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Ismail Sabri Yaakob yang merupakan naib presiden Umno telah menggantikan Muhyiddin selepas menerima sokongan Bersatu dan PAS.

Dalam wawancara itu juga Mahathir turut bercakap mengenai keperluan pendekatan “khemah besar” dalam kalangan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau setuju langkah tersebut merupakan satu-satunya cara untuk menumpaskan BN, namun bertegas akan menolak menyertainya jika diketuai Anwar atau Muhyiddin.