- Iklan -
Berita

‘Lockdown’ China, kenaikan tambang penerbangan dijangka lambatkan pemulihan sektor pelancongan

Pakar berkata ancaman jangkitan Covid-19 juga masih berlarutan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pengunjung bersantai di Pantai Klebang, Melaka. Walaupun pelancongan domestik meningkat sejak negara memasuki peralihan ke fasa endemik Covid-19, namun pelancongan antarabangsa mungkin pulih pada kadar yang lebih perlahan.
Beberapa pengunjung bersantai di Pantai Klebang, Melaka. Walaupun pelancongan domestik meningkat sejak negara memasuki peralihan ke fasa endemik Covid-19, namun pelancongan antarabangsa mungkin pulih pada kadar yang lebih perlahan.

Pelaksanaan “lockdown” di China, kenaikah tambang penerbangan serta kebimbangan terhadap risiko jangkitan Covid-19 dijangka menjadi faktor yang akan melambatkan pemulihan sektor pelancongan negara.

Faktor ini dipercayai menyebabkan sektor itu mencatatkan pemulihan secara beransur-ansur berbanding pemulihan bentuk “V”.

Menurut penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng, sekatan pergerakan di China yang mana rakyatnya tidak dibenarkan mengembara ke negara luar, bukan sahaja menjejaskan prestasi sektor pelancongan negara, malah ia juga memberi kesan terhadap banyak negara lain.

Katanya, ia kerana China merupakan antara penyumbang terbesar dari segi jumlah pelancong dan agak sukar untuk Malaysia mengisi “kekosongan” daripada ketidakhadiran pengembara dari negara tersebut.

“Ini adalah salah satu faktor mengapa sektor pelancongan sukar untuk pulih dengan pantas sehingga pasaran China dibuka semula,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan antarabangsa dan keputusan itu disambut baik penggiat industri yang terlibat dalam sektor tersebut.

Malah, ramai bersifat optimis apabila langkah itu dipercayai akan melonjakkan semula industri pelancongan yang terjejas teruk sejak negara dilanda penularan Covid-19 pada awal 2020.

Sementara itu, Yeah menjelaskan, antara faktor lain yang akan membantutkan pertumbuhan sektor pelancongan adalah kenaikan tambang penerbangan ekoran lonjakan harga minyak.

Katanya, tambang penerbangan kebiasaannya dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak, dan dijangka meningkat ekoran perkembangan harga minyak semasa.

“Selain itu, tidak semua negara membuka sempadan mereka.

“Masih ada risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengembara warga emas meskipun mereka sudah menerima vaksin,” tambah beliau.

Ditanya sekiranya virus cacar monyet akan turut menjejaskan sektor pelancongan negara, Yeah berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan memandangkan tidak banyak yang diketahui mengenai virus tersebut.

“Jika virus itu didapati sama merbahaya seperti virus Covid-19, mungkin kita boleh jangkakan kesan yang sama, tetapi buat masa ini, lebih baik kita tunggu pengumuman dari Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) Fathir Badri Alhadad berkata, disebabkan China masih melaksanakan sekatan pergerakan, Malaysia terus memandang dari aspek positif dengan mensasarkan pelancong dari Timur Tengah.

Katanya, walaupun jumlah pelancong dari Timur Tengah tidak seramai dari China, jumlah perbelanjaan mereka merupakan yang tertinggi di Malaysia.

“Negara-negara ini mencatatkan antara rekod tertinggi dari aspek bercuti di Malaysia lebih daripada 10 malam, malah perbelanjaan per kapita mereka juga adalah yang paling tinggi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Usaha mempromosi destinasi percutian di kawasan Timur Tengah sedang giat dilaksanakan.”

Menurut Fathir, kehadiran pelancong dari Timur Tengah dijangka “meriah” bermula Jun apabila negara mereka akan bermula musim panas.

“Kini kita sudah boleh lihat impaknya apabila penggiat industri sudah terima tempahan daripada kumpulan pelancongan dari negara-negara terbabit,” katanya.

Tambah beliau, faktor penyusutan ringgit juga dilihat sebagai peluang keemasan bagi pelancong asing untuk datang bercuti ke Malaysia memandangkan ia mengimbangi kesan kenaikan harga barang di negara ini bagi mereka.

“Kita pula tidak perlu terlalu risau mengenai cacar monyet.

“Virus itu belum ada lagi jadi tak perlu nak gembar gemburkan benda yang tidak ada,” ujarnya.