- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak rayuan Rosmah, keputusan kes rasuah kekal 7 Julai

Panel hakim sebulat suara menafikan permohonan isteri Najib Razak untuk batalkan kes rasuahnya hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Rosmah Mansor untuk membatalkan kes rasuah melibatkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak sekali gus penyampaian keputusan kes akan dikekalkan pada 7 Julai depan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Mohd Zawawi Salleh, semasa menolak rayuan Rosmah berkata mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pengisytiharan yang dimohon.

“Kami bersetuju dengan alasan yang dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan. Kami berpendapat bahawa tiada bidang kuasa sedia ada mahkamah jenayah untuk memberikan pengisytiharan relief,” katanya.

Beliau menambah terdapat undang-undang bertulis seperti Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanya memberikan kuasa sedia ada kepada mahkamah sivil.

Katanya, Kanun Tatacara Jenayah adalah undang-undang yang lengkap dan menyeluruh berkaitan prosedur dalam prosiding jenayah.

“Oleh itu, persoalan bahawa mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk memberikan relief itu tidak timbul sama sekali. Rayuan ditolak,” kata Zawawi.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Vernon Ong Lam Kiat dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah oleh hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram serta peguam Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

Dalam keputusan sebulat suara itu Zawawi turut menolak rayuan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram daripada menjadi ketua pasukan pendakwaan dalam kes tersebut.

“Mahkamah tidak menemui sebarang bukti konflik kepentingan jika Sri Ram mewakili pihak pendakwaan. Oleh itu, tiada sebab mengapa beliau tidak boleh mengemukakan atau meneruskan (dalam kes itu) atas kapasitinya sebagai timbalan pendakwa raya kanan. Bantahan awal ditolak,” kata Zawawi.

Rosmah, 70, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Disember lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes beliau dalam usaha bebas daripada ketiga-tiga pertuduhan dan menggugurkan Sri Ram daripada menjadi ketua pendakwa dalam kes itu.

Pada 24 September tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah atas alasan kebenaran yang diberikan oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah sah di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas kapasitinya sebagai pendakwa raya.

Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah, 70, diarahkan membela diri bagi tiga pertuduhan dihadapinya selepas pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam perbicaraan kes tersebut.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak mendapatkan projek sistem solar hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada kementerian pendidikan.