- Iklan -
Berita

PN tidak halang PAS perkukuh hubungan dengan Umno, kata Muhyiddin

Muhyiddin berkata PN tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana PAS sememangnya berpegang dengan prinsip penyatuan ummah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengatakan gabungan itu tidak akan menghalang PAS yang terus berusaha mempertahankan kerjasama dengan Umno dan Muafakat Nasional (MN).

Muhyiddin berkata, PN tidak mengambil sebarang tindakan kerana PAS sememangnya berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.

“Jadi ini usaha yang PAS nak sebagai usaha mereka. Tapi sama ada berhasil atau tidak, saya tak dapat pastikan.

“Kerana daripada kenyataan pihak-pihak Umno termasuk presiden pun mengatakan sudah sampai masanya tak ada lagi MN,” katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MKN) di Putrajaya, hari ini.

Semalam, media melaporkan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata parti Islam itu akan terus mempertahankan hubungan parti bersama Umno mengambil kira agenda penyatuan ummah adalah lebih besar berbanding kelansungan mana-mana parti politik.

Bagaimanapun, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu berkata PAS akan sentiasa berusaha memastikan MN dan PAS dapat terus bergerak untuk kelangsungan politik negara.

Muhyiddin berkata, beliau sebagai pimpinan utama PN sentiasa menghormati usaha-usaha parti komponen dan percaya kepada hubungan PAS yang berjanji untuk kekal bersama gabungan bersama gabungan itu.

“PAS dalam pertemuan pada hari raya baru-baru ini dengan presiden dan setiausaha agung, katanya PAS tetap istiqamah dalam PN,” katanya merujuk kepada Abdul Hadi Awang dan Takiyuddin Hassan.

“Tapi apa PAS nak buat, kita nak buat, ada usaha tertentu. Tak mengapalah. Akhirnya kita akan duduk semeja berbincang apa yang terbaik untuk PN.

“Tapi apa yang lebih penting untuk negara, itu yang saya fikir kita perlu berikan perhatian.”