- Iklan -
Berita

Pembentangan RUU pinda Perlembagaan manifestasi politik lebih sihat, kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob puas hati dengan penyatuan ahli-ahli Parlimen pada mesyuarat khas Dewan Rakyat semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Dewan Rakyat. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Dewan Rakyat. Gambar: Bernama

Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti digubal adalah satu manifestasi ke arah politik yang lebih sihat dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob justeru menzahirkan rasa puas hati dengan penyatuan ahli-ahli Parlimen pada mesyuarat khas Dewan Rakyat semalam.

“Malaysia ke arah kestabilan politik yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” kata Ismail dalam catatan di Facebooknya.

Beliau berkata blok kerajaan dan pembangkang turut senada dan harmoni untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas bagi meneliti pindaan Perlembagaan yang lebih khusus mengenai lompat parti serta mewujudkan Akta Anti Lompat Parti.

Rang undang-undang bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bertujuan memasukkan fasal baru 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

Dewan Rakyat juga meluluskan usul pembentukan jawatankuasa pilihan khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Jawatankuasa itu dianggotai 11 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.