- Iklan -
Berita

Tiada keperluan PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, kata PAS

PAS membuat keputusan untuk tidak membubarkan DUN di ketiga-tiga negeri itu, walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana pengundi yang beratur menunggu giliran membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac lalu.
Suasana pengundi yang beratur menunggu giliran membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac lalu.

PAS sekali lagi menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata di peringkat pusat, parti tersebut juga telah membuat keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ketiga-tiga negeri itu, walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada masa terdekat.

“Mengikut Perlembagaan, sesuatu dewan itu tempohnya adalah sehingga lima tahun, bermula daripada hari pertama persidangan dewan tersebut. Kalau kita tengok dari tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ia belum lagi mencukupi tempoh empat tahun.

“Malah, memandangkan faktor negara masih dilanda wabak Covid-19, kita rasa tiada keperluan pun untuk ketiga-tiga negeri ini diadakan PRN. Itu keputusan kita, sebelum ini tidak timbul isu pembubaran, cuma akhir-akhir ini sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga menteri tenaga dan sumber asli menolak dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa, beliau tidak diberi peluang untuk memberikan pandangan dan pendapat terhadap parti.

Katanya Fasal 16 Perlembagaan parti menyatakan dengan jelas setiap ahli berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti, bahkan termasuk kepada Presiden PAS.

“Adalah tidak benar seorang ahli PAS apatah lagi ahli jawatankuasa kerja, pimpinan tertinggi, mengatakan dia tidak boleh memberikan pandangan kepada parti, memandangkan ini satu jaminan dalam perlembagaan.

“Cuma isunya kalau kita tidak hadir ke mesyuarat macam mana kita nak bagi pandangan. Kalau kita hadir ke mesyuarat tetapi kita tidak bercakap macam mana kita boleh kata kita tidak diberi ruang untuk beri pendapat,” soal beliau.

Isnin lalu, Khairuddin mengumumkan pendiriannya keluar daripada PAS.