- Iklan -
Berita

Selepas PAS, negeri PH pula umum tak akan bubar DUN

PH berkata kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri sehingga penggal tamat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Pakatan Harapan dikibarkan ketika PRN Melaka tahun lalu. Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan akan meneruskan pentadbiran di bawah PH sehingga tamat penggal.
Bendera Pakatan Harapan dikibarkan ketika PRN Melaka tahun lalu. Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan akan meneruskan pentadbiran di bawah PH sehingga tamat penggal.

Pakatan Harapan (PH) hari ini berkata tiga negeri di bawah tampuk pimpinan gabungan itu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga penggal pentadbiran tamat, senada dengan pendirian PAS awal hari ini.

Dalam sebuah kenyataan yang ditandatangani pemimpin PH, mereka berkata keputusan tersebut diambil dengan mengambil kira kesukaran keadaan ekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19, bencana banjir dan kos sara hidup yang meningkat secara mendadak.

“Majlis Presiden PH hari ini telah memutuskan bahawa kerajaan-kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir PH tidak akan menasihati agar DUN masing-masing dibubarkan sehingga tamat tempoh pada tahun 2023,” katanya.

“Majlis presiden menegaskan bahawa fokus segala usaha pada waktu ini harus ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.”

Awal hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk tidak membubarkan DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, walaupun pembubaran mungkin berlaku di peringkat Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15.

“Mengikut perlembagaan, sesebuah DUN mempunyai penggal lima tahun bermula dari hari pertama mesyuarat DUN. Kalau kita lihat penggal pilihan raya umum lepas, belum pun empat tahun,” katanya kepada pemberita.

“Mengikut Perlembagaan, sesuatu dewan itu tempohnya adalah sehingga lima tahun, bermula daripada hari pertama persidangan dewan tersebut. Kalau kita tengok dari tempoh PRU ia belum lagi mencukupi tempoh empat tahun.

“Itu keputusan kita, sebelum ini tidak timbul isu pembubaran, cuma akhir-akhir ini sahaja,” katanya.

Gesaan supaya PRU diadakan mendapat momentum selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini, di mana penganalisis berkata peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi setianya di negeri itu memastikan BN menang besar sedangkan hanya lebih separuh bilangan pengundi yang layak keluar membuang undi mereka.

Pada Perhimpunan Agung Umno yang mula berlangsung malam tadi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengulangi gesaan tersebut.

Bagaimanapun, Ismail menepis gesaan tersebut, mengatakan pembubaran Parlimen berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.