- Iklan -
Berita

GPS perlukan ‘penggalak’ untuk kekal ‘kingmaker’ menjelang PRU15, kata penganalisis

Walaupun GPS yang dipimpin Abang Johari Openg mempunyai 18 ahli Parlimen, namun penganalisis berkata gabungan itu memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang ahli Parlimen bagi mengekalkan pengaruhnya di peringkat persekutuan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong GPS menggantung bendera gabungan itu di rumah mereka bagi menyatakan sokongan.
Penyokong GPS menggantung bendera gabungan itu di rumah mereka bagi menyatakan sokongan.

Walaupun memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu, penganalisis berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu meningkatkan tahap sokongan yang diberikan kepadanya bagi mengekalkan kedudukan sebagai “kingmaker” dalam politik persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jika GPS tidak melakukannya, penganalisis berkata gabungan yang dipimpin oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg itu bakal berdepan risiko kehilangan pengaruh politik di Putrajaya.

James Chin berkata perkara ini boleh berlaku sekiranya Umno, parti utama Barisan Nasional (BN) yang baru sahaja meraih satu lagi kemenangan besar di Johor, mendapat jumlah besar kerusi Parlimen pada PRU15.

“PRU15 sangat berbahaya untuk GPS,” kata Chin, dari Universiti Tasmania Australia kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya Umno dan BN memenangi majoriti besar dalam PRU15 atau boleh meningkatkan sokongan kepada mereka, pengaruh GPS di Putrajaya berkemungkinan akan menurun dengan sangat ketara.”

Pada PRN Sarawak tahun lalu, GPS memenangi 76 dari 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), memperoleh majoriti besar dan mencipta rekod baru bagi kerusi terbanyak yang dimenangi oleh sesebuah gabungan, di mana rekod sebelumnya adalah di bawah pimpinan Adenan Satem pada PRN 2016.

Malahan, sebelum itu, GPS meletakkan dirinya sebagai suara penting dalam menentukan kerajaan persekutuan.

GPS juga turut menyokong Muhyiddin Yassin berikutan ketidakstabilan politik yang berpanjangan selepas kejatuhan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Kerajaan yang diterajui Ismail Sabri Yaakob dari Umno menerima sokongan 18 ahli Parlimen GPS.

Ia menyumbang majoriti sebanyak empat kerusi yang diperolehinya di Parlimen.

Chin berkata GPS perlu memperoleh sekurang-kurangnya 25 kerusi Parlimen pada PRU15 untuk mengekalkan peranannya sebagai kuasa penentu politik di peringkat pusat.

“Cabaran utama GPS sekarang ialah PRU,” tambahnya.

“Abang Johari mesti pastikan bilangan ahli Parlimen GPS bertambah. Ini adalah indikator utama prestasi beliau ketika ini.”

Bagaimanapun, Chin memberi amaran bahawa GPS perlu mengambil beberapa langkah politik yang sukar untuk melakukannya.

“Caranya, GPS mesti menang besar di Sarawak, sementara kerajaan persekutuan perlu menang jumlah kecil.

“Jika GPS menang kurang daripada (parti persekutuan), pengaruhnya di Putrajaya akan jatuh dengan ketara.”

GPS terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) and the Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pemerhati politik veteran Sarawak Jayum Jawan juga turut bersetuju dengan pandangan Chin.

Bagaimanapun, mengatakan ketidakstabilan politik dalam negara ketika ini menyebabkan sukar untuk menjangka kepada siapa GPS perlu memberikan sokongannya sambil merujuk beberapa kumpulan yang ada dalam Umno.

“Cabaran bagi PRU15 ialah sukar untuk menentukan siapa yang akan menang.

“Ia mungkin gabungan yang dipimpin Umno, berdasarkan prestasi parti itu di Melaka,” tambahnya.

Pada PRN Melaka November lalu, BN kembali membentuk kerajaan negeri, memenangi 21 dari 28 kerusi yang ditandinginya.

Selain itu, Jayum juga merujuk kepada PRN Johor baru-baru ini, berkata keputusan PRN itu perlu diambil kira.

“Ia adalah (peristiwa) penting dalam melihat persepsi sama ada Umno akan kembali (menjadi kerajaan pusat),” katanya.

Sebagai alternatif lain, tambah beliau, PRU15 juga boleh dimenangi oleh gabungan yang dipimpin Bersatu.

“Bagaimana jika gabungan diketuai PKR pula lakukan kejutan? Terlalu banyak faktor dan kemungkinan,” katanya.

Apapun, Jayum berkata, GPS akan memantau secara rapat terhadap perkembangan politik semasa ketika ini.

“GPS akan tunggu dan lihat, untuk mengelak sebarang ‘U turn’ yang memalukan seperti yang biasa dilakukan parti dan ahli politik Malaysia,” katanya.

“Abang Johari, PBB dan GPS ada langkah-langkah politik yang mereka sudah simpan.”

Pada akhirnya, kata Jayum, sejarah menunjukkan tiada kerajaan dapat didirikan di Sarawak tanpa “sokongan persekutuan”.

“Kerajaan Sarawak sentiasa memihak kepada mereka yang menang di peringkat persekutuan.”