- Iklan -
Berita

Mampukah PAS tebus kekalahan Melaka di Johor?

Parti Islam yang tidak memenangi sebarang kerusi pada PRN Melaka tahun lalu kini sedang berusaha untuk meraih kemenangan di Johor.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Perikatan Nasional memasang bendera kempen PRN Johor. PAS merupakan salah satu parti komponen gabungan itu bersama Bersatu dan Gerakan.
Sukarelawan Perikatan Nasional memasang bendera kempen PRN Johor. PAS merupakan salah satu parti komponen gabungan itu bersama Bersatu dan Gerakan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lepas, PAS meletakkan lapan calon namun gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya.

Menghampiri tarikh PRN Johor, persoalan timbul apakah PAS mampu mengubah nasib malangnya di Melaka.

Selain Umno, PAS merupakan antara parti utama orang Melayu yang mempunyai pengaruh besar dan jentera yang matang.

Kerjasama kedua-dua parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) menyaksikan kemenangan demi kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK).

Namun setelah terkuburnya kerjasama Umno dan PAS, kedua-dua parti itu mengikut haluan berbeza.

Umno kekal dengan Barisan Nasional (BN) manakala PAS kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

PAS menolak empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan Umno pada PRN Johor untuk meneruskan kerjasama dalam MN.

Sebaliknya parti Islam itu diberikan 15 kerusi dalam PN.

Sebagai antara parti Melayu yang sudah “veteran”, PAS sememangnya mempunyai akar umbi dan jentera yang matang, selain mempunyai pengaruh besar di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Namun di Johor, parti itu kelihatan masih belum mampu membesarkan pengaruhnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS bertanding 41 kerusi DUN di Johor.

Daripada 41 kerusi tu, PAS hanya menang satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir.

Bahkan, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin yang bertanding di Tebrau turut tewas dan hilang deposit.

Bercakap kepada MalaysiaNow, calon PN di Simpang Jeram Zarul Salleh berkata, PAS yang kini bertanding di bawah PN mampu meraih lebih banyak undi kali ini jika dibandingkan pada prestasi parti tersebut dalam edisi pilihan raya terdahulu.

“Kalau orang Sabah boleh terima PN, mengapa tidak orang Johor?” katanya.

Katanya, PAS sukar menembus benteng BN kerana dinamik pengundi negeri itu yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

Ia menyukarkan laluan parti itu untuk menguasai kerusi-kerusi DUN sekalipun mereka berjaya memenangi undi Melayu.

Katanya, gerak kerja PAS bersama PN masih perlu diperkasakan.

Kebarangkalian itu juga dilihat selari dengan kejayaan PN melakukan “in-road” pada PRN Melaka meskipun hanya berjaya mendapat dua kerusi.

Namun cita-cita itu tidak mudah.

Sebelum ini, ramai penganalisis menjangkakan untuk mengalahkan BN, pengundi luar perlu balik mengundi.

Selain itu, terdapat juga ketidaktentuan mengenai pengundi muda.

“Kerisauan kita sama ada dia tidak keluar atau tidak peduli dengan politik, atau tidak faham politik.

“Ibu dan ayah kena bagi semangat pada mereka, begitu juga guru dan rakan-rakan sebaya,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini pula menyatakan orang Johor tidak memahami politik Islam.

Kenyataan itu mengakibatkan ramai golongan pro-Umno marah kepada parti itu, apatah lagi negeri Johor mempunyai sistem pendidikan Islam yang mantap.

Penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia berkata, dia yakin PAS mampu memenangi beberapa kerusi pada kali ini.

Ini kerana, politik Malaysia yang mengalami perpecahan mengakibatkan tiada satu parti mendominasi.

“Di Melaka pengundinya tidak ramai, tidak sampai 200,000 pun dan hanya membabitkan 28 kerusi DUN.

“Di Johor, ada 56 kerusi dan pengundinya lebih 2 juta.

“Pembangkang dan kerajaan hampir sama banyak kerusinya pada PRU lepas. Mereka mungkin kekalkan status quo masing-masing, namun untuk BN memang 2/3 atau 3/4, saya fikir sukar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Justeru, tiada parti yang dijangka akan “menang semua” atau “kalah semua”.

Mengenai rekod kemenangan PAS di Johor, katanya kehadiran dan penerimaan terhadap parti Islam itu secara relatifnya masih baru berbanding di negeri lain.

“Mereka sudah mula diterima namun belum lagi dapat mentadbir. Dahulu tidak banyak cawangan PAS di Johor, bahkan ahli PAS juga malu untuk mengakui keahlian PAS mereka,” katanya.

Selain itu, katanya keupayaan PAS juga bergantung kepada kepimpinan negeri.

Dibandingkan dengan kepimpinan Kelantan atau Terengganu, PAS Johor dilihat tidak begitu berketrampilan selepas kepimpinan Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Bagi Zarul cabaran parti itu di Johor ialah penerimaan orang ramai.

“Oleh sebab itu, pentingnya kita bergerak atas jalan dakwah dan kebajikan untuk lebih dikenali dan disenangi,” katanya.