- Iklan -
Berita

Mangsa banjir dipindahkan ke PPS meningkat di Kelantan, Terengganu berkurangan

Lebih banyak PPS dijangka akan ditutup hari ini susulan cuaca cerah di kebanyakan daerah di dua negeri itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memerhatikan air banjir yang bergenang di sekeliling rumahnya di Kampung Ayer Puteh, Kemaman, Terengganu. Gambar: Bernama
Seorang lelaki memerhatikan air banjir yang bergenang di sekeliling rumahnya di Kampung Ayer Puteh, Kemaman, Terengganu. Gambar: Bernama

Jumlah mangsa banjir di Kelantan menyaksikan sedikit peningkatan manakala situasi di Terengganu bertambah baik dengan bilangan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), pagi ini semakin berkurangan.

Di Kelantan, setakat 8 pagi ini, seramai 8,107 mangsa ditempatkan di 17 PPS di dua daerah berbanding 7,956 mangsa malam tadi dengan Pasir Mas mencatatkan bilangan mangsa paling tinggi iaitu seramai 7,415 orang manakala daerah Tumpat dengan 692 orang.

Di Terengganu, jumlah mangsa yang ditempatkan di 50 PPS di enam daerah berkurangan sedikit kepada 11,517 orang pagi ini berbanding 12,404 orang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan daerah Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 4,967 orang, diikuti Hulu Terengganu (4,554), Dungun (1,478), Kuala Nerus (274), Kuala Terengganu (237) dan Setiu (tujuh).

Menurut Sekretariat itu, dijangka lebih banyak PPS akan ditutup hari ini susulan cuaca cerah di kebanyakan daerah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Kemaman yang masih melepasi paras bahaya setakat ini.