- Iklan -
Berita

KPM jamin 147 sekolah jadi pusat pengundian PRN Johor tidak jejas SPM

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata walaupun sekolah berkenaan digunakan untuk PRN Johor namun, proses itu tidak akan melibatkan bilik peperiksaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengawas peperiksaan memeriksa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama yang berbaris untuk masuk ke dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 hari ini.
Seorang pengawas peperiksaan memeriksa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama yang berbaris untuk masuk ke dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 hari ini.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan 147 sekolah menengah di negeri ini sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Ketika memberi jaminan itu, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata walaupun sekolah berkenaan digunakan untuk PRN Johor namun, proses itu tidak akan melibatkan bilik peperiksaan.

“Sebelum ini kita memang berbincang dengan SPR sekiranya boleh agar tidak menggunakan sekolah menengah, namun disebabkan kekangan tertentu, sebanyak 147 sekolah menengah akan digunakan.

“Jadi keputusan dibuat walaupun sekolah itu digunakan, ia tidak akan sentuh bilik peperiksaan, walaupun sukar kerana peperiksaan kali ini hampir semua bilik digunakan kerana menjaga penjarakan yang lebih jauh. Tetapi mereka (SPR) ada kaedah dan sedang usahakan yang terbaik bagi memastikan proses peperiksaan berjalan lancar dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 pada hari pertama berlangsungnya ujian bertulis peperiksaan SPM hari ini.

Radzi berkata sanitasi juga akan dilakukan sejurus sahaja selesai proses pengundian bagi memastikan kawasan terlibat dinyah cemar dan selamat digunakan kelak.

Peperiksaan bertulis SPM 2021 dijalankan bermula hari ini sehingga 29 Mac manakala PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac dengan pengundian awal akan dibuat pada 8 Mac.

Februari lepas, Radzi berkata pihaknya berpendirian agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi PRN kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan SPM yang telah disusun atur, “diganggu-gugat”.