- Iklan -
Berita

Jumlah mangsa banjir Kelantan, Terengganu lepasi 26,400

Terengganu mencatat jumlah mangsa lebih tinggi sebanyak 17,384 daripada keseluruhan mangsa di kedua-dua negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kereta ditenggalami air banjir sementara beberapa mangsa mengharungi arus di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, Kelantan pada 28 Februari. Gambar: Bernama
Kereta ditenggalami air banjir sementara beberapa mangsa mengharungi arus di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, Kelantan pada 28 Februari. Gambar: Bernama

Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat pagi ini dengan 26,447 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,384 orang daripada 4,549 keluarga berbanding 16,756 orang daripada 4,269 keluarga semalam dan mereka ditempatkan di 87 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 27 di Kemaman, Dungun (24), Hulu Terengganu (19), masing-masing lima di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Besut (empat) dan Setiu (tiga).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan Kemaman menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,245 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,845), Dungun (2,795), Kuala Nerus (502), Kuala Terengganu (490), Besut (355) dan Setiu (152).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai sudah berada di paras normal dan ketika ini hanya satu sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman.

Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 9,063 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,678 orang semalam yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 22 di Pasir Mas, Tumpat (tiga), Tanah Merah dan Pasir Puteh, masing-masing dua.

Portal JPS pula melaporkan dua sungai utama di negeri berkenaan iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Air Bol di Jeli berada pada paras waspada.