- Iklan -
Berita

Kapal tangki minyak Rusia dalam perjalanan ke Malaysia jadi sasaran sekatan AS

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa akan membenarkan kapal itu berlabuh di Malaysia atau tidak.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine meninjau kesan pertempuran selepas Rusia menyerang Kyiv pada 26 Februari. Penelitian antarabangsa kini meningkat terhadap perniagaan berkait Moscow selepas negara itu menyerang Ukraine. Gambar: AFP
Tentera Ukraine meninjau kesan pertempuran selepas Rusia menyerang Kyiv pada 26 Februari. Penelitian antarabangsa kini meningkat terhadap perniagaan berkait Moscow selepas negara itu menyerang Ukraine. Gambar: AFP

Menurut data trafik perkapalan, sebuah kapal yang membawa bekalan minyak mentah dari Rusia yang disasarkan sekatan Amerika Syarikat sedang menuju ke Malaysia, ketika penelitian antarabangsa meningkat terhadap perniagaan yang dikaitkan dengan Moscow berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Kapal yang bernama Linda dalam dokumen Perbendaharaan AS, sebuah badan yang memperincikan sekatan terhadap Rusia itu berada di Lautan Hindi dan dijangka tiba di pelabuhan Sungai Linggi di pantai barat Malaysia pada Ahad, menurut data dari laman sesawang pengesanan kapal MarineTraffic.com.

Masih tidak jelas sama ada pihak berkuasa akan membenarkan kapal itu berlabuh.

Namun jabatan marin dan kementerian luar masih tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi berkenaan perkara itu.

Menurut AS, Linda dimiliki oleh PSB Leasing, sebuah bank Rusia, Promsvyazbank, di mana ia turut disenaraikan dalam sekatan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Reuters, Promsvyazbank berkata PSB Leasing tidak memiliki Linda, sambil menambah bahawa kapal itu telah ditebus oleh pemiliknya pada April 2021.

Bagaimanapun, bank itu tidak menyatakan siapa pemiliknya.

Pihak berkuasa Perancis pada Sabtu merampas sebuah lagi kapal, Baltic Leader, yang dikatakan milik PSB Leasing.

Promsvyazbank bagaimanapun turut menafikan anak syarikatnya memiliki kapal tersebut.