- Iklan -
Berita

24.8% populasi kanak-kanak terima dos pertama vaksin Covid-19

62.3% populasi dewasa telah menerima dos penggalak Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu bapa bersama anak mereka menunggu giliran untuk menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Ibu bapa bersama anak mereka menunggu giliran untuk menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Sebanyak 879,264 individu atau 24.8% populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 14,660,956 individu atau 62.3% populasi dewasa di negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,949,368 atau 97.5% telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,229,321 atau 98.7% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,801,180 individu atau 90% daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,896,290 atau 93.1% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 115,202 dos vaksin diberikan meliputi 34,200 dos pertama, 1,259 dos kedua dan 79,743 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,208,978.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 75 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan 22 kes di Selangor, diikuti Johor (13), Sabah (11) dan masing-masing tujuh kes di Perak dan Kedah.

Selain itu, Pulau Pinang, Kelantan dan Melaka masing-masing merekodkan tiga kes, Terengganu dua kes manakala Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak serta Kuala Lumpur masing-masing satu kes.