- Iklan -
Berita

Hampir 20,000 mangsa banjir Terengganu, Kelantan dipindah ke PPS

Lebih 5,000 keluarga terjejas akibat banjir di dua negeri itu setakat ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah lori yang digunakan untuk memindahkan mangsa mengharungi air banjir di Kuala Berang, Terengganu. Gambar: Bernama
Sebuah lori yang digunakan untuk memindahkan mangsa mengharungi air banjir di Kuala Berang, Terengganu. Gambar: Bernama

Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 19,626 mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri pagi ini berbanding 14,521 individu, malam tadi.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 11,137 orang daripada 3,177 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 6,963 orang daripada 2,072 keluarga semalam dan ditempatkan di 157 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 44 di Besut, Setiu (30), Hulu Terengganu (27), Dungun (23), Kemaman (22), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan cuaca di kebanyakan daerah di negeri berkenaan dijangka baik pada pagi ini manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan enam sungai masih di paras bahaya.

Enam sungai berkenaan adalah Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).

Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,489 orang daripada 2,750 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 7,558 orang daripada 2,449 keluarga, semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 68 PPS dibuka melibatkan tujuh daerah iaitu 18 di Pasir Mas, Kuala Krai (16), Tanah Merah (14), Jeli (lapan), Pasir Puteh (enam), Machang (lima) dan satu di Kota Bharu.

Portal JPS pula melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah, Sungai Kelantan di Temangan,Machang serta Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.