- Iklan -
Berita

Mampukah Muda menang kerusi di Johor dengan populariti media sosial?

Penganalisis berkata populariti dalam talian tidak penting jika parti itu tidak mampu menunjukkan keupayaan mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (lima dari kanan) bersama pimpinan dan anggota Muda. Gambar: Bernama
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (lima dari kanan) bersama pimpinan dan anggota Muda. Gambar: Bernama

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi medan untuk menguji apakah populariti di media sosial mampu membantu Muda pimpinan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Buat pertama kalinya Muda akan bertanding dalam pilihan raya selepas mencapai kata sepakat dengan DAP dan Amanah dari Pakatan Harapan (PH) walaupun gagal dalam perundingan dengan PKR yang tidak menggunakan logo gabungan itu pada PRN Johor.

Muda meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Parit Raja, Puteri Wangsa, Larkin, Bukit Kepong, Bukit Permai dan Machap.

Muda secara rasminya didaftarkan pada 29 Disember lalu oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu selepas digugurkan dari partinya dan tidak menyertai Pejuang yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.

Sejak penubuhannya, Muda memanfaatkan platform media sosial untuk menjadi wadah kempen dan propaganda dan kelihatan meriah ketika bencana banjir melanda beberapa negeri termasuk Lembah Klang akhir tahun lalu.

Persoalan kini timbul mengenai keupayaan Muda menterjemah sokongan di media sosial kepada peti undi.

Shafizan Mohamed dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, meskipun media sosial mempunyai kuasa dan impak, ia tidak semestinya boleh diterjemahkan kepada undi.

“Media sosial menjadi ‘echo chamber’ yang mana hanya mereka yang bersetuju dengan pendirian Muda sahaja akan mengikuti platform parti itu,” kata pensyarah komunikasi itu kepada MalaysiaNow.

Katanya, meskipun situasi itu terpakai kepada semua parti politik, cabaran Muda terletak kepada demografi penyokongnya yang agak kecil.

Menurut Shafizan, tidak semua belia berminat dengan politik dan disebabkan itu, jumlah peratusan golongan belia yang mampu ditarik oleh Muda kekal menjadi persoalan.

Katanya, di sebalik gembar-gembur mengenai kuasa media sosial, masih banyak faktor lain yang mempengaruhi sikap pengundi.

“Ada pengundi yang sudah memilih sebelum pilihan raya lagi, dan ada yang hanya tentukan pilihan mereka pada hari mengundi.

“Ia juga bergantung kepada isu-isu pada tempoh pilihan raya. Bolehkah parti seperti Muda menyediakan penyelesaian kepada isu-isu ini?

“Jika tidak mampu menunjukkan keupayaan mereka, populariti di dalam talian tidak lagi penting,” katanya.

Undi PH berkurangan kerana Muda

Mengulas mengenai kemasukan parti itu ke landskap politik negara, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Muda bergantung kepada dua kelompok pengundi.

“Pertamanya, kelompok penyokong PH yang tidak keluar mengundi, contohnya di Melaka dan Sarawak. Satu lagi ialah kelompok Undi 18.

“Antara kedua kelompok, mereka mempunyai potensi besar terhadap kelompok pertama,” katanya kepada MalaysiaNow.

PRN Johor kali ini menyaksikan buat pertama kalinya Undi 18 dilaksanakan selepas mendapat kelulusan dua pertiga Parlimen pada 2019.

Menurut Oh, golongan Undi 18 tidak akan menjadi pengundi Muda secara automatik kerana peratusan keluar mengundi golongan muda pada PRN kali ini masih tidak dapat dipastikan buat masa ini.

“Mereka mungkin tidak terlalu minat dengan politik dan tidak akan keluar mengundi. Mereka juga tidak semestinya progresif, bahkan mewarisi pendidikan konservatif.

“Jika mereka keluar, mereka akan undi Umno, Bersatu atau PAS,” katanya.

Shafizan berkata, tidak semua pilihan raya mempunyai sentimen yang sekata.

Bergantung kepada jenis pilihan raya yang diadakan, sentimen pengundi dan pengundi sasar akan berbeza.

Isu rasuah dan kepimpinan mungkin boleh dibawa di peringkat pilihan raya umum, namun PRN menuntut calon bertanding untuk menumpukan isu-isu setempat.

“Tidak semua parti politik, terutama yang baru, mempunyai keupayaan untuk turun padang dan memahami masalah rakyat.

“Mereka mungkin mempunyai sokongan pada PRU kerana mereka boleh bergantung kepada sentimen populis, tetapi untuk PRN dan PRK, sukar untuk mereka memandangkan sokongan akar umbi mereka lemah,” katanya.

DAP dan Amanah menyerahkan kerusi-kerusi yang terdahulu ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun Muda akan bertembung PKR di Larkin apabila kedua-dua parti gagal mencapai kata sepakat.

Oh berkata Muda berpeluang memenangi beberapa kerusi ditandinginya kerana terdapat pengundi Melayu yang mungkin tidak selesa dengan DAP dan Amanah sanggup mengundi mereka.

Tidak popular di luar bandar

Sementara itu, penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, undi kepada parti itu boleh diterjemahkan sekiranya pengundi luar pulang mengundi.

“Muda tidak popular dengan pengundi di kawasan-kawasan luar bandar walaupun ada anak muda di kawasan berkenaan.

“Populariti Syed Saddiq ialah dalam kalangan netizen. Sekiranya pengundi luar pulang, maka Muda akan dapat sokongan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Mazlan, Muda mampu menerima undi saluran anak muda, dengan syarat parti itu mesti bersekutu dengan PH.

“Kalau bertanding solo, Muda akan kalah,” katanya.

Shafizan berkata, impak media sosial hanya bersifat jangka masa pendek.

Ia berguna untuk menggerakkan massa, namun bukan medium untuk mengekalkan sokongan.

Justeru katanya, adalah berbahaya untuk parti politik bergantung sepenuhnya pada sosial media.

“Ahli politik masih perlu membina modal sosial, yang mana mereka mempunyai hubungan dengan pengundi.

“Jadi mereka perlukan akar umbi. Bagi Muda, dalam aspek ini mereka masih belum matang.”