- Iklan -
Berita

Kerjasama lebih untungkan PH berbanding Muda, kata penganalisis

Penganalisis berkata calon dari Muda tidak menunjukkan potensi untuk dicalonkan sebagai menteri besar Johor.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim (ketiga dari kiri) bersama pemimpin Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kedua dari kiri) dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain pada acara pelancaran jentera Pakatan Harapan + Muda bagi PRN Johor. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim (ketiga dari kiri) bersama pemimpin Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kedua dari kiri) dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain pada acara pelancaran jentera Pakatan Harapan + Muda bagi PRN Johor. Gambar: Bernama

Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan lebih menguntungkan gabungan dianggotai PKR, DAP dan Amanah itu berbanding parti pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman itu, kata penganalisis.

Penganalisis politik dari USM, Ahmad Atory Hussain, melalui kerjasama PH dan Muda, pengundi akan melihat langkah ini sebagai satu pendekatan mempelbagaikan calon yang terdiri dari latar belakang berbeza.

“Setakat ini, tiada lagi calon Muda yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai menteri besar,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya mereka menang, kemungkinan besar PH terutamanya akan tentukan siapa yang bakal dicalonkan sebagai MB,” kata Atory dan menambah calon menteri besar dari PH kemungkinan besar dari PKR atau Amanah.

Katanya, disebabkan Muda merupakan sebuah parti yang baru, ada kemungkinan besar ia akan dibayangi oleh PH dan PKR.

Sebelum ini, kenyataan bersama antara DAP dan Amanah yang mewakili PH mengesahkan bahawa Muda akan diperuntukkan sebanyak enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dipertandingkan pada PRN Johor selepas mendapat persetujuan sebulat suara.

Enam kerusi tersebut membabitkan kawasan DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Walaupun Presiden PKR Anwar Ibrahim merupakan pengerusi PH, parti pimpinannya membuat keputusan untuk tidak menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Johor.

Hanya DAP dan Amanah yang akan menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang.

Kerjasama hanya sementara

Sementara Mujibu Abd Muis dari UiTM berpandangan kerjasama PH dan Muda bersifat sementara dan tidak akan berkekalan untuk tempoh masa panjang.

Mujibu berkata kerjasama itu terpaksa dimeterai meskipun kedua-dua pihak mempunyai ideologi berbeza dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) di negeri Johor yang dianggap sebagai kubu kuat Umno.

Menurut Mujibu, BN dilihat sebagai “musuh bersama” oleh semua parti pembangkang di negeri itu, justeru pendekatan ini adalah cara terbaik untuk mengurangkan perpecahan undi dalam kalangan pembangkang.

“Apabila pembangkang berpecah, BN secara langsung akan mempunyai kelebihan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini situasi yang Muda dan PKR atau PH nampak. Justeru, mereka terpaksa tolak tepi ego dan ideologi dengan kerana masing-masing tahu sekiranya bertanding secara solo, kedua-dua mereka tidak mempunyai peluang.”

Mengulas lanjut, Mujibu menjelaskan, kerjasama ini disifatkan penting memandangkan tahap keyakinan pengundi terhadap pembangkang terutamanya PH semakin merosot sejak 2018 dan mereka dipercayai berdepan kesukaran untuk memulihkan sentimen itu.

“Semasa PH diberi mandat sebagai kerajaan negeri, mereka tidak merekodkan prestasi cemerlang dan situasi ini akan memberi impak dari segi pandangan pengundi terhadap PH,” tambahnya.

Sementara itu, Atory berkata, pengaruh Syed Saddiq di Johor juga mungkin tidak sekuat pada 2018, menyebabkan parti itu memerlukan bantuan jentera dari PH.

“Satu-satunya calon Muda yang dikenali ramai hanyalah Syed Saddiq, malah ini juga adalah pilihan raya pertama parti itu.

“Oleh itu, tidak mustahil pengundi termasuk golongan muda akan ragu-ragu mengundi parti tersebut. Cara terbaik untuk meningkatkan keyakinan pengundi adalah menerusi pengalaman berdepan pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, James Chin, dari University of Tasmania, Australia berkata kerjasama ini bukanlah bermakna Muda akan menyertai PH, sebaliknya ia adalah usaha kedua-dua pihak memastikan mereka tidak bertembung antara satu sama lain ketika menentang BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya ada gabungan secara rasmi, kemungkinan besar ia adalah antara Muda dan Warisan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Muda sebelum ini sudah nyatakan secara jelas bahawa kerjasama ini hanyalah bersifat sementara bagi menghadapi PRN Johor.”