- Iklan -
Berita

Aset Najib dibeku hingga AS$681 juta, dilarang belanja lebih RM100,000 sebulan

Injunksi tersebut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan satu anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Najib Razak melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Sekiranya Najib memerlukan lebih daripada jumlah tersebut, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding dalam talian semalam selepas membenarkan permohonan injunksi mareva ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon 1MDB dan Global Diversified yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam kes saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa yang lain.

Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

Perintah itu juga menyatakan, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

Perintah tersebut juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding ini atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah di mana mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Perintah itu berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 21 Februari.

Seorang peguam Tetuan Skrine yang mewakili 1MDB ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah itu.

Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas pengarah kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (ketua pegawai operasi 1MDB) sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan iaitu Kelvin Tan Kay Jim (bekas pengarah pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd).

Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu.