- Iklan -
Berita

Pemilihan juri dimulakan bagi perbicaraan rasuah 1MDB bekas pegawai Goldman

Bekas ketua bank pelaburan itu di Malaysia, Roger Ng didakwa terlibat dalam penyelewengan berbilion dolar dari dana 1MDB.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng. Gambar: Facebook
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng. Gambar: Facebook

Pemilihan juri dijangka akan bermula ada Isnin depan di mahkamah Amerika Syarikat bagi perbicaraan kes rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa terlibat menyelewengkan berbilion dolar dari dana 1MDB.

Sebelum ini, Roger Ng yang merupakan bekas ketua bank pelaburan itu di Malaysia mengaku tidak bersalah melanggar undang-undang anti rasuah dan pengubahan wang haram yang berkait dengan penyelewengan dana berjumlah berbilion dolar.

Goldman membantu dalam penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion bagi 1MDB, yang dilancarkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak bagi menggalakan pertumbuhan ekonomi.

Pihak berkuasa berkata beberapa pegawai 1MDB dan rakan subahat mereka menyelewengkan sebahagian wang tersebut dan membelanjakannya untuk membeli barangan mewah, sementara pegawai bank Goldman membayar lebih dari AS$1.6 bilion sebagai rasuah kepada beberapa pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi bagi perniagaan 1MDB.

Pada 2020, Goldman bersetuju untuk membayar denda sebanyak AS$2.9 bilion dan cawangannya di Malaysia turut mengakui jenayah kewangan itu bagi menyelesaikan siasatan Jabatan Kehakiman AS dan beberapa agensi penguatkuasaan lain berhubung peranannya dalam 1MDB.

Hakim AS Margo Brodie dijangka akan memeriksa calon juri sama ada mereka boleh menjalankan amanah itu secara adil dan tidak berpihak.

Pihak pendakwaan dan pembelaan juga turut memberikan cadangan supaya Brodie memberikan soalan mengenai sebarang hubungan kerja antara calon juri dan negara terlibat iaitu Malaysia dan Abu Dhabi.

Peguam mewakili Ng juga mencadangkan supaya calon juri ditanya sekiranya mereka mempunyai sebarang pandangan mengenai Goldman Sachs, dan apakah mereka mempunyai pandangan yang “berpihak atau tidak berpihak” mengenai bank itu.

Kenyataan pembukaan perbicaraan tersebut dijadualkan bermula minggu depan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.

Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi ke AS enam bulan kemudiannya.

Seorang lagi pegawai bank Goldman Sach, Tim Leissner mengaku bersalah pada 2018 berhubung peranannya dalam skandal tersebut.

Dia dijadualkan akan menjalani hukuman pada Mac depan.