- Iklan -
Berita

Pejuang tiada hasrat sertai PH pada PRN Johor

Mukhriz Mahathir berkata Pejuang masih bergerak solo untuk bertanding pada PRN Johor dan sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.

Pejuang buat masa ini tidak berhasrat untuk menyertai khemah besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata parti itu masih bergerak solo untuk bertanding pada PRN Johor dan sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

“Kami (Pejuang) tidak akan menyertai mana-mana gabungan dan calon-calon kita akan bertanding di atas tiket Pejuang.

Pada waktu ini kita tidak berhasrat untuk menawarkan calon-calon kita di bawah lambang PH atau menyertai khemah besar PH,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat “Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir” hari ini.

Mukhriz bagaimanapun mengakui terdapat perbincangan bersama dengan Muda, namun sebarang bentuk keputusan kerjasama politik sewaktu PRN Johor belum dimuktamadkan.

Beliau berkata sekiranya perbincangan itu mencapai kata putus, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

“Tapi, dengan pihak lain tiada perbincangan yang betul-betul mendalam, contohnya seperti PH,” katanya.

Pada 24 Januari, Anwar, selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH, berkata semua parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan Muda perlu bekerjasama di bawah satu khemah besar bagi menghadapi PRN Johor.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Januari lepas untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.