- Iklan -
Berita

Mahkamah tetapkan bicara kes gagal isytihar RM1 juta Shahrir pada 26 Julai

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda Shahrir Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima dari Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula 26 Julai ini di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim lain.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

Terdahulu timbalan pendakwa raya Mohd ‘Afif Ali berkata kes itu dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah lima (MTJ 5) untuk didengar di hadapan hakim Muhammad Jamil.

“Tarikh bicara sebelum ini telah ditetapkan di MTJ 5 (hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh),” katanya yang turut memaklumkan akan memanggil 19 saksi pada perbicaraan kes itu.

Hakim Muhammad Jamil berkata tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini terpaksa dijadualkan semula kerana beliau perlu mendengar beberapa kes lain dan menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 September dan 3 hingga 6 Oktober untuk perbicaraan.

Hakim Shahrir yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil mulai semalam, sebelum ini menetapkan perbicaraan bermula pada 6 April.

Shahrir, 72, yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin hadir pada prosiding hari ini.

Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.